Polis menyita dua kereta jenis Perodua Kancil termasuk satu daripadanya 'Kancil kuning' yang tular dalam media sosial yang dipandu tanpa mempunyai bumbung.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata polis telah menahan kenderaan berwarna kuning itu yang sedang dipandu seorang lelaki berumur 47 tahun pada 1 pagi tadi di Bandar Metropolitan, Kepong, di Kuala Lumpur.
Menurutnya, tindakan diambil selepas video tular di aplikasi Tik Tok, baru-baru ini mengenai Perodua Kancil berwarna kuning yang tiada bumbung.
"Kami melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan itu yang dinaiki seorang lelaki dipercayai gelandangan di lokasi berkenaan kira-kira jam 1 pagi.
"Didapati pemandu yang berasal dari Raub, Pahang itu juga tidak mempunyai lesen memandu, selain kereta berwarna kuning tidak tiada cukai jalan, tidak berbumbung dan tayar hadapan sebelah kanan pecah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkefly berkata, pemandu itu turut menunjukkan sebuah lagi Perodua Kancil berwarna hijau yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dan cermin pecah di bahagian pintu belakang sebelah kiri.
"Berdasarkan pemeriksaan, kami mendapati kedua-dua kereta berkenaan tidak layak berada di atas jalan raya dan boleh membahayakan pengguna lain disebabkan ia tidak lengkap, buruk dan sudah lama (usia)," katanya.
Katanya, saman dikeluarkan terhadap pemandu itu atas kesalahan tiada lesen memandu, manakala sitaan kedua-dua kereta dibuat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Difahamkan, pemandu terbabit adalah gelandangan yang tidur dalam kereta dan pernah dua kali dikenakan tindakan (saman serta sita kenderaan) atas kesalahan sama.
EmoticonEmoticon