Jabatan Perikanan mengesahkan pemilik sangkar ikan yang hanyut dan pecah di Teluk Intan, 29 Mac lalu turut menternak ikan baung ekor merah atau nama saintifiknya Hemibagrus Wyckioides di Sungai Perak.
Spesies dikategorikan sebagai ikan pemangsa dikatakan berasal dari Sungai Mekong, Vietnam itu berbahaya kepada ekosistem sungai dan tasik apabila dikesan mampu memusnahkan keseluruhan hidupan asal jika terlepas masuk ke kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Perikanan Perak Zaki Mokri berkata, jabatan tidak pernah mengeluarkan permit untuk membawa masuk ikan baung ekor merah kerana ia termasuk dalam kategori ikan asing spesies alien.
Menurutnya, pihaknya percaya pemilik sangkar berkenaan menternak ikan jenis itu secara haram bersama ikan lokal jenis lain.
"Kami memang tidak mengeluarkan permit untuk membawa masuk ikan baung ekor merah tetapi jika ada penternak yang mahu membelanya ia perlu merujuk kepada jabatan dahulu.
"Ikan jenis ini memang tidak dibenarkan diternak dalam sangkar kerana dikhuatiri terlepas dalam sungai di mana ia adalah ikan pemangsa yang sangat berisiko kepada sumber sungai kita.
"Jika boleh pun mungkin diternak dalam tangki tetapi bukan mudah kerana kita perlu membuat penilaian seperti sistem penternakan dan pembuangan sisa air," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tangkap ikan spesis ini untuk kelangsungan ekosistem sungai
Zaki berkata, pemilik sangkar ikan itu mempunyai 300 petak sangkar yang menempatkan pelbagai jenis ikan lokal seperti patin, baung dan talapia.
Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak menolak individu terbabit turut membela baung ekor merah yang juga bukan jenis lokal di dua atau tiga daripada sangkar sedia ada di Sungai Perak.
"Dalam kejadian itu tali pengikat sangkar putus dan menyebabkan 250 sangkar ikan hanyut, malah ada yang pecah. Ia turut mengakibatkan ikan mati dan terlepas ke sungai termasuk ikan baung ekor merah.
"Tetapi ikan ini dibela dan diberi makan palet, jadi ia agak jinak dan tidak akan pergi terlalu jauh. Dia juga akan menunggu diberi makan, jadi kita saran nelayan (dan pemilik sangkar sendiri) memancing atau menjala terus ikan itu supaya spesis ini tidak membiak dalam perairan sungai kita," katanya.
Katanya, pihaknya juga sudah melakukan lawatan dan pemantauan di lokasi dan akan menjalankan siasatan lanjut mengenainya sebelum mengambil tindakan susulan lain.
Sementara itu, seorang nelayan dari Kampung Sungai Buaya, Kampung Gajah, Muhammad Firdaus Othman, 30, berkata, dia terkejut apabila ramai rakannya yang memancing di kuala Sungai Buaya memperoleh ikan baung ekor merah.
Menurutnya, lokasi kampung mereka berhampiran dengan Sungai Perak di Teluk Intan menyebabkan ikan itu terlepas hingga ke kawasan mereka yang disedari dua hari selepas kejadian itu.
"Ada kawan dapat antara dua hingga sembilan ekor ikan jenis itu ketika memancing di sungai dengan anggaran berat antara dua hingga tiga kilogram seekor.
"Kami maklum jenis ikan ini memang bahaya dan akan makan semua sumber sungai. Jika dibiarkan ia akan membiak sekali gus menjejaskan sumber Sungai Perak di Hilir Perak juga terkenal dengan udang galah dan pendapatan nelayan," katanya.
Muhammad Firdaus berkata, mereka juga terkilan dengan tindakan individu yang mementingkan diri sendiri kerana masih membela ikan jenis itu dan berharap kejadian sama tidak berulang. Sumber: Harian Metro
EmoticonEmoticon