Isu penipu siber atau scammer menjadi bualan hangat di kalangan netizen sejak kebelakangan ini. Banyak penipuan dalam talian dilapor seperti Macau Scam, penipuan pinjaman dan pelaburan, Love Scam dan juga kegiatan keldai akaun.
Tapi jarang kita mendengar bomoh scammer kan? Terbaru, mangsa berasal dari Kluang, berhutang berpuluh ribu ringgit dengan ah long gara-gara terpedaya helah seorang bomoh yang mendakwa boleh merawat sakit misteri dialaminya.
Taktik licik bomoh berkenaan menyebabkan mangsa yang kini sudah meninggal dunia meninggalkan beban hutang termasuk kadar bunga tinggi yang terpaksa dijelaskan oleh waris.
Ayu (bukan nama sebenar), 30, mendakwa, selain berhutang dengan saudara-mara, arwah bapanya juga meminjam wang daripada pelbagai syarikat peminjam wang berlesen dan tidak berlesen bagi tujuan berubat. Wang pencen bapanya kira-kira RM1,200 sebulan kini semuanya habis digunakan untuk membayar hutang.
"Selalunya yang tinggal dalam tangan, kira-kira RM80 dan disebabkan itu, emak yang berusia 67 tahun terpaksa bekerja sebagai pembungkus kerepek dengan hasil pendapatan kira-kira RM30 sehari.
"Abah memang pesan sebelum meninggal dunia supaya saya menyelesaikan semua hutangnya dengan ah long mahupun dengan saudara-mara," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Ayu mendakwa, ketika ayahnya masih hidup, bomoh berkenaan mengenakan denda atau 'dam' kepada ayahnya sekiranya melanggar pantang. Jumlah denda berkenaan sekitar RM500 setiap kali kesalahan yang perlu dijelaskan dengan segera, jika tidak mahu sakit misteri ayahnya melarat.
"Disebabkan takut sakitnya bertambah teruk, ayah terpaksa meminjam dan perbuatan ini berulang dari masa ke masa. Malah, yang saya pelik setiap bulan ada sahaja panggilan telefon daripada bomoh berkenaan yang memberitahu ayah sudah melanggar pantang.
"Keadaan ini berlanjutan hinggalah ayah meninggal dunia pada awal tahun ini dan selepas itu, bomoh berkenaan tidak mengacau kami tetapi kami pula terpaksa menjelaskan hutang ayah dengan ah long," katanya.
Katanya, setiap bulan, dia kini perlu membayar sebanyak RM500 kepada ah long sehingga Disember ini. Tidak termasuk hutang arwah dengan ah long lain, kerana pinjaman lain dibuat mengikut alamat di rumah lama.
Katanya, tidak cukup dengan itu, mereka juga sekeluarga diuji lagi apabila dihalau keluar oleh tuan rumah kediaman disewa dan menyebabkan mereka kini terpaksa menumpang berteduh di rumah jiran.
"Kami tak tahu kenapa dihalau tuan rumah kerana kami tak pernah culas membayar sewa rumah sebanyak RM300 sebulan sejak tiga tahun lalu," katanya.
Dalam pada itu, penderitaan Ayu sekeluarga mendapat perhatian Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Negeri Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi yang membantu mencarikan dan menjelaskan deposit untuk rumah sewa baharu.
"Kami juga sedang berusaha menjejaki bomoh penipu berkenaan dan akan berurusan dengan ah long berkenaan bagi menyelesaikan masalah hutang ah long arwah ayah Ayu," katanya.
EmoticonEmoticon