Ahad, 11 April 2021

Alibaba didenda RM11.5 bilion, salah guna kedudukan dominan syarikat


Pengasas Alibaba iaitu Jack Ma pernah menjadi individu terkaya di China dan Asia dan menduduki tangga ke-20 sebagai salah satu orang terkaya di dunia. Namun lewat tahun 2020 Jack Ma kehilangan gelaran orang terkaya di China dan kini hanya menduduki orang kedua terkaya di negaranya.


Baru- baru ini, syarikat gergasi e-dagang, Alibaba didenda 18.2 bilion yuan (AS$2.78 bilion atau RM11.5 bilion) atas amalan dan salah guna kedudukan dominan syarikat dalam perdagangan.


Agensi berita Xinhua melaporkan, pihak berkuasa perniagaan China mengenakan denda sebanyak itu selepas menamatkan siasatan antimonopoli ke atas Alibaba sejak Disember lalu.


Alibaba, syarikat e-dagang China yang diasaskan oleh Jack Ma mengatakan pihaknya menerima hukuman dan akan menyusun rancangan Isnin ini bagi memastikan operasinya patuh peraturan.


Siasatan yang dijalankan tertumpu terhadap dakwaan Alibaba mewajibkan peniaga yang ingin menjual barang mereka menerusi platform syarikat itu sahaja, tidak boleh berbuat demikian di laman web e-dagang yang lain serta penyalahgunaan data pengguna.


Jumlah denda yang dikenakan itu berdasarkan hasil jualan syarikat terbabit pada tahun 2019, iaitu sebanyak 455.7 bilion yuan. Tidak lama setelah keputusan itu diumumkan, Alibaba mengeluarkan kenyataan berjanji untuk membuat perubahan untuk melindungi persaingan yang adil.


Alibaba bersama beberapa peneraju syarikat teknologi China lain menerima tekanan selepas wujud kebimbangan terhadap pengaruh syarikat itu di China, yang mana pengguna kini menjadikannya sebagai platform untuk berkomunikasi, membeli-belah, membayar bil, menempah teksi, memohon pinjaman serta pelbagai aktiviti harian.


Malah, Alibaba menjadi perhatian ramai sejak Oktober tahun lalu apabila pengasasnya, Jack Ma mengkritik pihak berkuasa China dan menyifatkan mereka sebagai 'ketinggalan zaman' selepas menyuarakan kebimbangan terhadap isu berkaitan pinjaman, insuran dan pengurusan kewangan oleh anak syarikat Alibaba, Ant Group.


China sedang berusaha menangani masalah peminjam yang melarikan diri dan kritikan dilemparkan Ma dilihat sebagai cabaran terhadap bidang kewangan yang dikuasai negara itu.


EmoticonEmoticon