Gejala bunuh diri dalam kalangan masyarakat Malaysia kini semakin menjadi-jadi. Hampir setiap minggu ada saja kisah yang didedahkan tidak kira di media sosial mahupun arus perdana. Jelas sekali gejala yang berlaku tanpa mengira bangsa ini tidak lagi boleh dipandang remeh.
Kes terbaru dilaporkan hari ini, seorang remaja perempuan cuba terjun dari jambatan di KM 46 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat susur Berjaya Hills Bukit Tinggi, kerana ditegur asyik bermain permainan video dan telefon bimbit dirampas bapanya.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.12 petang dan sepasukan polis dari Balai Polis Bukit Tinggi dikejarkan ke lokasi.
"Pihak polis beberapa kali cuba memujuk perempuan tersebut supaya bertenang sehinggalah perempuan itu didapati dalam keadaan tidak stabil ketika berada di atas jejambat berkenaan.
"Namun, ketika proses memujuk itu, Ketua Balai Polis Bukit Tinggi Sarjan Mejar Maznan Omar sempat berlari ke arah mangsa dan menariknya dari belakang. Beliau dibantu anggota lain dan remaja berkenaan berjaya diselamatkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Zaiham berkata, remaja berusia 16 tahun itu berjaya diselamatkan polis dan pasukan bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Katanya, mangsa juga dimaklumkan mengalami kemurungan dan dalam rawatan. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.
"Pihak polis berharap agar ibu bapa sentiasa memerhati tingkah laku anak-anak agar kejadian seumpama ini tidak berlaku," ujarnya.
Pasukan penyelamat bersedia di bawah jambatan dengan jaring bagi menyambut remaja itu sekiranya dia terjun.
Seorang gadis yang cuba terjun dari jejambat Bukit Tinggi berjaya diselamatkan pihak polis di Bentong hari ini.
EmoticonEmoticon