Sabtu, 13 Mac 2021

Sajat Terus 'Ghaib' Jais, Polis Perhebatkan Pemburuan


Sudah dua minggu berlalu, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman masih belum di kesan selepas diburu oleh pihak berkuasa ekoran gagal hadir perbicaraan di mahkamah syariah.


Terbaru, memetik laporan Harian Metro, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia membantu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), bagi menjejaki usahawan kosmetik berusia 36 tahun tersebut yang dipercayai sedang bersembunyi.


Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, berikutan kuasa yang terhad, Mais dan Jais memerlukan bantuan polis untuk melaksanakan perintah mahkamah termasuk waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad yang dikeluarkan pada Februari lalu.


"Sudah ada perbincangan antara Jais dan polis. Justeru, Mais menyerahkan perkara ini kepada kedua pihak berkenaan untuk pelaksanaan perintah Mahkamah. Buat masa ini, Jais masih mengesan Muhammad Sajjad dan oleh kerana bidang kuasa yang terhad, bantuan polis diperlukan.


"Bantuan polis bukan sahaja diperlukan dalam kes Muhammad Sajjad bahkan banyak kes syariah sebelum ini, kita laksanakan dengan bantuan polis terutamanya apabila membabitkan perintah Mahkamah," katanya kepada pemberita ketika ditanya perkembangan terbaharu kes berkaitan usahawan itu.



Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.


Usahawan kosmetik itu dituduh berpakaian seperti wanita pada satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina, di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, jam 7.30 malam 23 Februari 2018.


Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


EmoticonEmoticon