Isnin, 15 Mac 2021

Polis Kedah saman polis, operasi khas di pintu masuk IPK


ALOR SETAR - Pegawai dan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini terkejut apabila mereka ditahan dan diperiksa oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta Cawangan Khas (SB).


Melalui hantaran di Facebook Rasmi Polis Kedah, pemeriksaan dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard serta Cawangan Khas IPK Kedah membabitkan dokumen sulit, pemeriksaan kenderaan dan pas keselamatan.


Operasi Khas Bunyi Bising & Ubahsuai selama satu jam bermula 7.30 pagi itu disertai dua pegawai dan enam anggota JSPT IPK Kedah, tiga pegawai dan tujuh anggota Cawangan Khas IPK Kedah dan dua pegawai serta seorang anggota JIPS IPK.


Dalam operasi itu, JSPT melakukan pemeriksaan terhadap 128 kenderaan dan 116 motosikal manakala Cawangan Khas memeriksa 160 kenderaan dan 99 motosikal. Manakala JIPS IPK pula melakukan pemeriksaan terhadap 22 orang.



Selain itu, beberapa kenderaan milik pegawai dan anggota serta kakitangan awam IPK Kedah disaman kerana melanggar undang-undang jalan raya seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.


Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanudin Hassan berkata, pemeriksaan dilakukan untuk memastikan anggota dan pegawainya di IPK Kedah mematuhi peraturan. Pemeriksaan itu kerap dilakukan dan ia dilakukan secara berkala.


"Tumpuan pemeriksaan terhadap kenderaan yang memasuki IPK yang melakukan kesalahan ubahsuai bunyi dan nombor pendaftaran fancy. Tindakan tetap diambil sekiranya ada anggota dan pegawai kita didapati melakukan kesalahan," katanya.


Susulan itu, hantaran di Facebook rasmi Polis Kedah berkenaan telah tular, rata-rata netizen memuji usaha berkenaan dan berharap pemeriksaan diperluaskan lagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara.



EmoticonEmoticon