JELI - Pengunjung tidak mengendahkan notis amaran mungkin disebabkan teruja dengan kewujudan jambatan gantung baru itu, menyebabkan lebih 10 orang terjatuh ke dalam anak sungai apabila jambatan dalam pembinaan itu tiba-tiba runtuh di Lata Keding di sini.
Dalam kejadian sekitar 1.30 tengah hari tadi, jambatan sepanjang lebih kurang 40 meter itu dipercayai runtuh akibat gagal menampung kapasiti pengunjung yang berlebihan.
Difahamkan, notis pemberitahuan jambatan itu dalam pembinaan sudah ditampal, namun tidak dipatuhi segelintir pengunjung ke pusat peranginan itu.
Ketika kejadian, pekerja yang terbabit membina jambatan gantung itu juga tidak berkerja menyebabkan pengunjung mengambil kesempatan menaiki jambatan berkenaan, ada antaranya merakamkan gambar sebelum jambatan itu tiba-tiba runtuh.
Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu dan bergegas ke lokasi peranginan yang dimiliki pihak persendirian itu. Katanya, maklumat yang diterima kira-kira 10 pengunjung berada di atas jambatan gantung setinggi 4.5 meter itu.
"Secara tiba-tiba jambatan yang dalam pembinaan itu runtuh menyebabkan kesemua mereka terjatuh ke anak sungai dan binaan itu juga turut terkena pengunjung lain yang sedang mandi.
"Notis mengenai pemberitahuan bahawa jambatan itu sedang dalam pembinaan sudah ditampal namun ada juga pengunjung yang tidak mengendahkannya mungkin disebabkan teruja dengan kewujudan jambatan gantung itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad berkata, ada beberapa daripada mangsa cedera dan sudah dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.
EmoticonEmoticon