Ahad, 28 Mac 2021

Penemuan Planet Baharu 'Gliese 486 B' Berjarak 26 Tahun Cahaya Dari Bumi

Gambar ilustrasi planet Gliese 486 b (Foto Reuters).

Melakukan perjalanan ke angkasa lepas dan berpeluang menetap di sana adalah salah satu topik menarik untuk dibincangkan. Sebelum ini, ahli Astronomi ada mengatakan bahawa banyak penemuan planet yang seakan-akan sama dengan Bumi.


Baru-baru ini, kumpulan Astronomi mendedahkan penemuan sebuah lagi planet baharu berhampiran sistem suria. Planet yang dikenali sebagai 'Gliese 486 b' itu dilaporkan mengelilingi bintang kecil berwarna merah dan terletak dalam jarak kira-kira 26 tahun cahaya dari Bumi.


Malah, kajian terbaharu itu juga mendakwa planet tersebut bersaiz 2.8 kali lebih besar daripada Bumi. Para saintis memaklumkan penemuan planet berhampiran sistem suria Bumi itu mungkin tidak mempunyai kehidupan. Bagaimanapun, ia boleh menawarkan data penting dalam pencarian kehidupan di alam semesta lain.


Penyelidik dari Institut Astronomi Jerman, Max Planck berkata, planet Gliese 486 b tidak menjanjikan sebagai tempat perlindungan kepada kehidupan memandangkan ia panas dan kering, selain kemungkinan terdapat lava yang mengalir pada permukaannya.


Sementara itu, saintis planet, Trifon Trifonov berkata, fizikal dan orbit planet tersebut disifatkan sesuai untuk kajian mengenai atmosfera.


"Gliese 486 b tidak dapat dihuni, sekurang-kurangnya tidak seperti yang kita tahu di Bumi. Planet ini hanya memiliki atmosfera yang lemah, jika ada," katanya.


Selain itu, Gliese 486 b didakwa mempunyai suhu permukaan sekitar 800 darjah Fahrenheit (430 darjah Celsius), mungkin cukup sejuk berbanding Matahari untuk menyokong atmosfera, tetapi cukup panas untuk atmosfera itu dikaji.


Lebih 4,300 planet di luar sistem suria Bumi telah ditemukan oleh para saintis, setakat ini. Segelintir daripada penemuan itu menunjukkan planet tersebut mempunyai kandungan gas yang banyak. Sementara yang lain dilaporkan mirip seperti Bumi yang lebih kecil dan berbatu.


Gambat ilustrasi permukaan planet Gliese 486 b. - Foto Reuters.


EmoticonEmoticon