Khamis, 11 Mac 2021

Lelaki kreatif disaman pasang 'bumbung' pada motosikal


KUALA LUMPUR: Mungkin kelihatan kreatif dan inovatif, namun tindakan itu satu kesalahan. Seorang lelaki mengubah suai motosikalnya dengan memasang 'bumbung' menyebabkan dia di saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Kesalahan Teknikal (Motosikal) di Plaza Tol Batu 9 Lebuhraya Cheras-Kajang semalam.


Lelaki berkenanan yang merupakan seorang pekerja pemasangan memberi alasan mahu mengelak hujan yang mendorongnya membina 'bumbung' pada skuter SYM VTS 200 miliknya sejak tahun lalu. Malah, 'bumbung' yang dibina sendiri oleh lelaki berkenaan turut dilengkapi dengan penggilap cermin (wiper) di bahagian hadapan.


Lelaki berusia 52 tahun itu berkata, dia mengeluarkan modal sebanyak RM300 bagi membeli komponen digunakan bagi membina bumbung berkenaan.


"Bumbung ini saya pasang sendiri sejak tahun lalu kerana mahu mengelak hujan. Walaupun saya tahu tindakan ini salah, namun saya yakin struktur ini kukuh.


"Sepanjang tempoh saya pasang struktur ini, saya tidak pernah disaman pihak berkuasa. Ini adalah kali pertama," katanya ketika ditemui di Plaza Tol Batu 9 Lebuhraya Cheras-Kajang, di sini, hari ini.


Lelaki berkenaan antara individu yang disaman kerana kesalahan mengubah suai struktur asal dengan memasang struktur tambahan tanpa kelulusan dalam Operasi Kesalahan Teknikal (Motosikal) di lokasi terbabit yang bermula 3 petang tadi.


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata, seramai 50 pegawai dan anggotanya terbabit dalam operasi itu yang berakhir jam 6.30 petang tadi. 1,050 motosikal diperiksa dalam operasi itu dengan 150 motosikal diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.


"Dalam operasi itu juga, kami mengeluarkan 344 notis atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, nombor pendaftaran fancy, tayar kecil serta ubah suai ekzos," katanya ketika ditemui di lokasi operasi berkenaan, hari ini.


Mohd Zaki berkata, operasi itu dilaksanakan bukan semata-mata untuk mencari kesalahan pengguna, namun ia bertujuan untuk memastikan orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan.


Tambahnya, pengguna perlu tahu adalah penting bagi mereka untuk mengikut spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan ketika berada di jalan raya. Ini termasuk bagi komponen seperti tayar yang penting untuk kestabilan kenderaan. Jika ia diubah tidak mengikut spesikasi, ia boleh membahayakan nyawa.


Individu yang disaman kerana kesalahan mengubah suai struktur asal dengan memasang struktur tambahan tanpa kelulusan dalam Operasi Kesalahan Teknikal (Motosikal).


EmoticonEmoticon