Ahad, 7 Mac 2021

Lelaki buncit dikatakan paling kacak bagi suku Bodi di Ethiopia


Ethiopia, sebuah negara di Afrika Timur, di wilayah negara ini terdapat banyak suku kaum dengan ritual dan tradisi yang menarik. Kebanyakan suku Ethiopia tinggal di sudut terpencil di lembah Sungai Omo, salah satunya suku kaum Bodi yang mempunyai keistimewaan tersendiri yang mungkin kamu tidak jangkakannya.


Bagi suku kaum tersebut, mereka menganggap lelaki yang mempunyai perut buncit itu dikatakan sebagai lelaki yang paling kacak. Mungkin bagi kamu sedikit pelik, tetapi pandangan itu berubah apabila berada dalam suku kaum ini. Suku Bodi Ethiopia menganggap perut itu ukuran kecantikan seseorang lelaki.


Upacara Ka'el Perayaan Tahun Baru


Kekacakan seseorang diukur melalui ritual pelik 'upacara Ka'el' iaitu golongan lelaki muda perlu meminum darah dan susu lembu untuk dinobatkan sebagai lelaki bertubuh gemuk. Enam bulan selepas perlawanan dimulakan, lelaki-lelaki itu muncul untuk menayangkan bentuk badan mereka agar terpilih sebagai pemenang.


Kini, ritual yang sudah jarang diamalkan itu menjadi subjek daripada beberapa gambar luar biasa yang diambil oleh jurugambar amatur dari Perancis, Eric Lafforgue. Dia telah menghabiskan masa bersama masyarakat suku Bodi ketika melakukan perjalanan di sebelah barat daya Ethiopia untuk mengikuti perayaan Tahun Baru Bodi atau upacara Ka'el.



Malangnya, upacara Ka'el dan cara hidup tradisional suku Bodi itu kini terancam berikutan rancangan kerajaan untuk memindahkan kira-kira 300,000 orang dari kawasan tersebut. Suku ini mengamalkan upacara Ka'el antara bulan Jun dan Julai, bergantung kepada bulan purnama dan hujan, mereka akan menyambut tahun baru dalam gaya tradisional.


Setiap keluarga dibenarkan menghantar seorang lelaki yang belum berkahwin untuk menyertai pertandingan tersebut. Jika terpilih, mereka harus berhenti melakukan aktiviti harian dan tidak boleh keluar dari rumah atau melakukan aktiviti seks mengikut masa yang ditentukan.


Makanan-makanan bagi membolehkan mereka mendapat tubuh yang gemuk itu diperolehi dalam bentuk darah lembu dan susu campuran yang disajikan secara teratur oleh kaum wanita di kampung mereka.



"Lembu merupakan haiwan suci bagi suku Bodi dan disebabkan itu, ia tidak dibunuh. Darah diambil dengan cara membuat lubang pada pembuluh darah lembu tersebut menggunakan tombak atau kapak dan kemudian, mereka menutup lubang tersebut dengan tanah liat," kata Lafforgue.


Tambahnya, disebabkan keadaan cuaca yang panas, golongan lelaki tersebut perlu minum dua liter darah dan susu lembu sebelum ia menjadi beku.


"Mangkuk pertama terdiri daripada darah dan perlu diminum ketika matahari terbit tetapi tidak semua mereka sanggup meminumnya sebelum ia menjadi beku.


"Ini kerana mereka akan muntah setiap kali cuba untuk minum darah tersebut tetapi mereka perlu mengamalkan tabiat itu jika ingin menjadi gemuk," katanya.



Pada hari pertandingan berlangsung, golongan lelaki itu akan menutup bahagian tubuh mereka menggunakan tanah liat dan abu, sebelum keluar dari rumah untuk berjalan ke lokasi upacara dijalankan. Namun, disebabkan berat badan mereka, ramai yang cuba menggunakan jalan pintas.


"Beberapa orang daripada mereka mempunyai tubuh yang begitu besar sehingga tidak mampu untuk berjalan lagi. Malah, salah seorang daripada mereka meminta saya menumpangkan mereka hingga ke lokasi upacara berlangsung.


"Ketika perjalanan, dia kembali meminum susu dan darah lembu kerana ingin terus menggemukkan badannya sehingga ke detik-detik terakhir pertandingan," jelas beliau.


Upacara itu termasuklah ritual berjalan dalam sebuah lingkaran di sekitar pohon suci selama beberapa jam, dan ditonton oleh kaum lelaki yang lain. Mereka juga mendapat bantuan daripada golongan wanita yang akan memberikan mereka minuman beralkohol.



Setelah seorang pemenang dipilih, upacara tersebut berakhir dengan penyembelihan lembu menggunakan seketul batu dan kemudian mereka akan memeriksa bahagian perut dan darah lembu itu untuk melihat masa depan sama ada baik atau sebaliknya.


Selain dinobatkan sebagai lelaki yang paling gemuk, acara ini adalah salah satu tarikan untuk para wanita menjadikan mereka sebagai suami. Lelaki suku kaum tersebut percaya, semakin besar badan mereka semakin ramai wanita yang menginginkannya.


Setelah upacara berakhir, golongan lelaki itu kembali menjalani kehidupan normal. Sebahagian daripada mereka berjaya mendapatkan kembali berat badan asal dengan mengambil kuantiti makanan yang sedikit selama beberapa minggu. Tetapi beberapa minggu kemudian, generasi berikutnya akan kembali bersaing untuk mendapatkan gelaran lelaki tergemuk.


Menjadi seorang lelaki gemuk merupakan impian setiap anak-anak suku Bodi tetapi beberapa minggu selepas upacara tersebut, pemenang akan kembali mendapatkan berat badan normal mereka, tetapi dia akan tetap dikenang sebagai seorang pahlawan selama hayatnya," tambah Lafforgue.


EmoticonEmoticon