Sebuah universiti di Pakistan yang konservatif mengusir dua pelajar yang berpelukan selepas proses melamar di kampus, selepas video mereka tersebar di media sosial minggu ini.
Dalam klip video itu, seorang pelajar wanita universiti melutut dan melamar teman lelakinya dan selepas itu mereka berpelukan sambil disaksikan ramai orang.
University of Lahore menyatakan pasangan itu telah bertindak melanggar peraturan universiti, malah gagal untuk hadir pada perbicaraan tatatertib, seterusnya diusir berikutan melanggar kod etika.
Menunjukkan perasaan berkasih secara terbuka sama ada sudah berkahwin atau tidak dianggap tidak dapat diterima oleh budaya dan agama di negara itu. Ramai wanita di Pakistan sukar untuk menentang tradisi dengan kebanyakan masyarakat masih terikat di bawah peraturan kehormatan yang ketat.
"Kami tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak menyesal untuk ini," menurut ciapan Hadiqa Javaid yang enggan meminta maaf.
"Bolehkah ada yang menjelaskan kepada kami apa kesalahan yang kami lakukan dengan membuat lamaran di khalayak ramai di Universiti Lahore?," kata tunangnya, Shehryar Ahmed, sambil menambah bahawa pasangan sebelumnya juga turut melakukan perkara yang sama.
Pasangan itu juga menerima ugutan dalam talian disebabkan tindakan mereka. Sementara itu, Kesatuan Pelajar Progresif mengutuk keputusan universiti itu dengan menyatakan bahawa dasar moral di universiti telah menjadi kebiasaan akhir-akhir ini.
Sebilangan universiti di Pakistan melarang pelajar perempuan memakai seluar jeans, baju tanpa lengan tank atau bermekap, manakala yang lain melarang interaksi antara pelajar lelaki dan wanita.
Awal minggu ini, penganjur perhimpunan Hari Wanita Antarabangsa Pakistan menyatakan bahawa mereka menerima ancaman pembunuhan berikutan 'kempen berniat jahat'.
EmoticonEmoticon