Sukar mempercayai dalam penghasilan karya arca besi Destiny oleh artis residen Sunway, Infantino Fernandes, tidak menggunakan sebarang lakaran atau lukisan contoh untuk dirujuk sepanjang tempoh lapan bulan menyiapkannya.
Menurut artis kelahiran Goa, India itu sebaik memulakan kerja membuat arca berkenaan dia hanya mengikut gerak naluri selain imaginasi mengenai gambaran yang ingin dihasilkan.
"Seawal diminta membuat arca, saya mengamati apa yang ada di sekeliling dalam memberi ilham kepada karya ingin dihasilkan. Apabila diminta untuk hasilkan arca diletakkan di universiti, saya buat lawatan di universiti dan amati kehidupan pelajar.
"Daripada situ saya dapat bayangan mengenai visual bagaimana rupa karya terbabit dan saya hanya ikut bayangan berkenaan sehinggalah siap. Tetapi saya tidak lupa perincikan hal remeh seperti arah angin supaya ketika arca ini diletakkan ia nampak 'hidup' termasuklah 'stroke' (garisan) baju dan rambut," katanya.
Kata Infantino, dalam tempoh lapan bulan itu cukup mencabar kerana arca Destiny adalah karya paling tinggi pernah dihasilkan dan rasa penat hanya dirasai selepas menyiapkannya.
"Oleh kerana saya membuatnya seorang, ia memang perlu fokus dan ketahanan fizikal. Apabila inginkan karya nampak karya hidup, sekecil-kecil bahagian adalah penting dan saya bekerja berjam-jam lamanya.
"Bermain dengan asap dan api adalah mainan arca besi dan itu sendiri sudah cukup mencabar. Tetapi apabila lihat hasilnya, saya puas kerana ia seperti yang saya bayangkan.
"Perincian seperti ira rambut dan jatuhan jubah di bahagian tangan dan belakang adalah seperti yang ingin saya lihat pada karakter 'pelajar lelaki' berkenaan," katanya.
Menurutnya, mesej penting ingin disampaikan menerusi arca berkenaan membuatkan dia sangat menghargai peluang diberikan Sunway dan juga Sunway University.
"Mesej saya ingin sampaikan dalam karya Destiny ialah setiap orang bertanggungjawab di atas masa depan mereka sendiri. Sesukar manapun keadaan, kita mempunyai kuasa memilih dan pengetahuan boleh membantu dan memberi 'kuasa' untuk mencapai impian.
"Saya rasa ia relevan dengan situasi ketika ini baik kehidupan pelajar sehingga seseorang itu dewasa ada peranan dan kelebihan termasuklah menyumbang kepada komuniti," katanya.
Dalam setiap arca pernah dihasilkan dan ditempatkan di semua ruang legar bangunan Kumpulan Sunway seperti arca Ibu di Hospital Sunway Subang Jaya Selangor dan Victory di pekarangan lobi utama pusat membeli-belah Sunway Pyramid bukan bertujuan menambah estetika semata-mata sebaliknya sebagai inspirasi seni boleh dinikmati semua.
EmoticonEmoticon