PUTRAJAYA - Malaysia memberi tempoh 48 jam kepada pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara untuk meninggalkan negara ini bermula Jumaat, hari ini. Ia susulan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Malaysia berhak untuk bertindak balas terhadap keputusan Korea Utara demi melindungi kedaulatan dan menjaga kepentingan negara. Menurutnya, kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Korea Utara yang disifatkan sebagai tidak menghormati negara lain.
"Dalam hal ini, keputusan sebelah pihak Korea Utara jelas tidak mempunyai alasan kukuh, tidak profesional dan mengganggu kestabilan serta kemakmuran," kata kenyataan tersebut pada Jumaat.
Kementerian Luar berkata, Malaysia dianggap sebagai rakan karib Korea Utara sejak penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 1973. Malaysia adalah antara yang paling awal menjalinkan hubungan dan menyokong republik itu semasa mereka dalam keadaan sukar.
Sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip keadilan, katanya, proses ekstradisi rakyat Korea Utara, Mun Chol Myong dilakukan adalah berlandaskan undang-undang.
"Hak Chol Myong telah diberi dan dipenuhi termasuk akses mendapatkan peguam bela dan bantuan konsulat selain keluarganya diberi lawatan sejak dia ditahan pada 14 Mei 2019," katanya.
Menurutnya, waran tangkap terhadap Chol Myong dikeluarkan mengikut Seksyen 13 (1) (b) Akta Ekstradisi 1992 berikutan tuduhan konspirasi pengubahan wang haram dan melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mana ia juga merupakan kesalahan mengikut undang-undang negara ini.
"Prosiding permohonan bermula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Disember 2019 dan ia berakhir di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober 2020. Mahkamah mendapati permohonan dan rayuan Chol Myong tidak berasas serta gagal memenuhi syarat Akta Ekstradisi," katanya.
Chol Myong dilaporkan tinggal di Malaysia selama lebih sedekad bersama keluarganya dan ditahan pada tahun 2019 susulan permohonan ekstradisi dari Washington.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Kementerian Luar berkata, Malaysia juga menutup Kedutaan Besar negara di Pyongyang yang operasinya telah ditangguhkan sejak tahun 2017, selepas kes pembunuhan Kim Jong Nam iaitu abang tiri kepada pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong Un.
"Malaysia kesal dengan keputusan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia serta menyifatkan keputusan itu sebagai tidak mesra dan tidak konstruktif. Keputusan itu juga tidak menghormati hubungan kejiranan yang baik antara negara-negara dalam komuniti antarabangsa," katanya.
EmoticonEmoticon