Ahad, 21 Mac 2021

Jika berkunjung disini, anda boleh naik teksi terbang tanpa pemandu sambil nikmati keindahan belantara

Foto Giancarlo Zema.


Bagi
mereka kaki 'travel' yang tercari-cari di mana lagi lokasi menarik untuk bercutian, ini mungkin menjadi lokasi impian mereka yang mahu menikmati pengalaman makan mewah yang menakjubkan.


Lebih mengujakan, pelancong akan diterbangkan ke menara setinggi 100 kaki menggunakan teksi terbang, tanpa perlu menggunakan lif seperti mana di kebanyakan lokasi makan mewah di pencakar-pencakar langit lain.


Memetik media antarabangsa, menara yang digelar 'vertiports' akan dibina dan membolehkan teksi tanpa pemandu itu mendarat di bangunan tersebut, selain menyifatkan ia lebih mesra alam, kata wakil syarikat EHang Holdings dan arkitek di Giancarlo Zema Design Group yang berpangkalan di Rom, Itali.


Foto Giancarlo Zema.


Konsep pembinaan menara tersebut membolehkan para pelancong menikmati makan mewah sambil menyaksikan kehijauan hutan belantara dengan berlatar belakangkan gunung-ganang di Itali. Setelah menikmati hidangan di menara berkenaan, para pangunjung akan diterbangkan semula ke hotel atau penginapan mereka.


Menurut para pereka, reka bentuk unik menara vertiport diilhamkan daripada 'Baobab' sebatang pokok lama yang berasal dari Afrika. Menara yang akan dibina dengan kombinasi kayu berlamina dan keluli itu bakal dilengkapi kafe, ruang menunggu dan restoran berpanorama seluas 2,153 kaki persegi yang dapat diakses menggunakan lif utama.


Sementara itu, di bahagian atas bumbung setiap menara vertiport akan dilengkapi dengan non-slip panel solar yang mampu menghasilkan tenaga lebih 300 kilowatt setiap hari. Ia sekali gus membolehkan tenaga yang diperlukan dapat dibekalkan kepada teksi terbang, yang diklasifikasikan oleh pereka sebagai kenderaan udara autonomi penumpang EH216.


Teksi terbang itu direka seperti dron komersial yang besar, dengan lapan rotor berkembar di bahagian tengah kokpit penumpang. Tidak seperti helikopter tradisional, pesawat EH216 yang berkuasa elektrik tidak memerlukan penumpang untuk memandu dan menavigasi mereka, sebaliknya berkonsepkan 'point-to-point direct flight'.


Bagaimanapun, lokasi sebenar menara berkenaan masih belum diumumkan. Para pemaju memaklumkan mereka sudah merancang konsep sama di seluruh Eropah dan Asia Tenggara.


Foto Giancarlo Zema.


EmoticonEmoticon