Sabtu, 27 Mac 2021

Dunia rugi RM1.6 bilion sejam, disebabkan kapal kontena besar tersadai di Terusan Suez


Mesir dilanda ribut debu dan angin kencang mencecah sehingga 40 knot sejak Selasa lalu, menyebabkan satu daripada kapal kontena terbesar dunia tersadai di Terusan Suez akibat ribut tersebut, mengakibatkan kesesakan lalu lintas marin yang teruk.


Memetik kenyataan Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) pada Rabu, berkata kapal seberat 224,000 tan didaftarkan di Panama itu dalam perjalanan dari China ke Rotterdam, terkandas akibat angin kencang dan ribut debu.


Terusan Suez adalah laluan perdagangan laut penting di dunia, membolehkan kapal belayar antara Eropah dan Asia Selatan tanpa melalui sekitar perairan Afrika dan dapat mengurangkan jarak pelayaran antara Eropah dan India kira-kira 7,000 kilometer.



Menurut laporan jurnal berita Lloyd’s List, gangguan perjalanan itu mengakibatkan kerugian mencecah AS$400 juta (RM1.6 bilion) sejam. Tambah Lloyd’s List, anggaran nilai barang yang dibawa kapal kargo itu mencecah AS$9.7 bilion (RM40 bilion) sehari.


Daripada jumlah tersebut, sebanyak AS$5.1 bilion (RM2.1 bilion) dibawa oleh kepal dari timur ke barat dan AS$4.6 bilion (RM19 bilion) dibawa oleh kapal dari barat ke timur.



Kesesakan itu juga memaksa hampir 300 buah kapal kargo lain untuk menukar laluan melalui Afrika dengan perjalanan yang lebih jauh, kos yang tinggi dan juga berbahaya. Ia juga memberi kesan kepada bekalan global yang meningkat naik dalam pandemik Covid-19.


Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perkapalan Belanda Boskalis, Peter Berdowski berkata pihaknya telah mencuba pelbagai usaha untuk mengalihkan kapal itu daripada sekatan namun tempoh yang diperlukan untuk berbuat demikian tidak dijelaskan.


Ketika ini, usaha mengapungkan semula kapal Ever Given yang tersekat itu masih giat diteruskan. Terusan Suez merupakan salah satu laluan air terpenting di dunia yang menghubungkan Mediterranean dengan Laut Merah serta merupakan laluan perkapalan ke Asia.


Ia meliputi sepanjang 190 kilometer, sedalam 24 meter dan seluas 205 meter merupakan laluan puluhan kapal kontena besar dalam masa sehari.




EmoticonEmoticon