Isnin, 22 Mac 2021

Cemas 8 jam terkunci dalam tandas bersama 2 anak yang masih kecil


Terkurung di dalam bilik air berjam-jam lamanya memang boleh mengundang panik dan cemas apatah lagi bersama anak-anak yang masih kecil. Tombol pintu yang tersekat cuba dipecahkan, namun usaha itu gagal, dengan tiada telefon di tangan, menjerit pun tiada orang dengar, memang akan mengundang macam-macam perasaan.


Begitulah detik-detik mencemaskan yang dialami suri rumah, Safra Hussain berdepan detik mencemaskan, selepas terperangkap di dalam tandas rumahnya di sebuah kondominium dekat Damansara Damai, Petaling Jaya, Selasa minggu lalu.


Kisah Safra, 31, mendapat perhatian selepas wanita berkenaan memuat naik hantaran di Facebook (FB), baru-baru ini. Menceritakan pengalamannya, Safra berkata, kejadian berlaku pada 9.50 pagi selepas dia baru selesai memandikan dua anak perempuannya, Raja Mikayla Aina, 6, dan Raja Maleeqa Aina, 3.


"Ketika itu, hanya saya dan dua anak saja yang ada di rumah manakala suami tiada kerana sudah ke tempat kerja. Pada hari itu, saya sekadar menutup pintu tandas, tetapi tidak menguncinya dari dalam.


"Selesai memandikan anak, saya mahu keluar dari tandas tetapi gagal kerana tombol pintu tiba-tiba rosak," katanya ketika dihubungi.



Menurut Safra, keadaan bertambah rumit apabila telefon bimbitnya berada di luar dan bunyi bising persekitaran yang menyebabkan dia tidak dapat menjerit. Bagaimanapun, Safra berusaha mencari jalan keluar antaranya cuba memecahkan pintu menggunakan penyangkut tuala.


"Puas saya mencuba namun usaha itu tidak berhasil hingga saya dan anak bongsu tertidur seketika selepas tiga jam berada di dalam tandas. Anak sulung saja yang terjaga dan Alhamdulillah kerana dia serta adiknya tidak menangis sepanjang terperangkap di dalam tandas.


"Cuma, saya kasihan melihat anak sulung lebih-lebih lagi selepas dia mengadu kesejukan hingga tangannya jadi kebiruan. Saya pula sudah lemah dan tidak berdaya berbuat apa-apa melainkan membalut badan kedua-anak dengan tuala selain memberi minum air daripada alat pemanas serta susu badan untuk bertahan," katanya.


Safra berkata, dia dan dua anaknya hanya dapat keluar dari tandas pada 5.15 petang selepas suaminya, Raja Mohammad Fadzlan Raja Zulkiply, 34, pulang ke rumah. Menurutnya pada mulanya, suaminya tidak tahu apa yang berlaku, tetapi pelik kerana melihat mereka tiada di ruang tamu serta bilik. Suami hanya sedar selepas terdengar jeritannya dari dalam tandas.


"Tanpa berlengah, suami terus menendang pintu dari luar hingga terbuka dan saya tidak mampu berfikir apa-apa sebaik keluar, sebaliknya terus memberi kedua-dua anak makan roti kerana kasihan melihat mereka kelaparan," katanya yang juga mencari pendapatan sampingan sebagai ejen mesin penapis air.


Safra berkata, niatnya berkongsi kisah itu di FB sekadar untuk memberi peringatan kepada orang ramai terutama rakan terdekat dan golongan suri rumah yang mempunyai anak kecil supaya berhati-hati.


Menurutnya, ramai yang prihatin kerana faham situasi dialaminya, namun ada yang mempersoalkan tindakannya memberi anak bermain air sepanjang terperangkap di dalam tanda dan memberi minum air daripada alat pemanas.


"Sedangkan, saya terpaksa kerana hanya itu caranya untuk mengalihkan perhatian mereka dan bertahan dalam tempoh lama. Mujur kedua-duanya ada bersama-sama kerana jika salah seorang di luar, saya tidak tahu apa yang akan berlaku.


"Buat masa ini, saya dan suami sudah mencabut semua tombol di dalam rumah kecuali pintu hadapan serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah keselamatan," katanya.


Namun, apa-apapun Safra dan anak-anak selamat. Pasti mereka sekeluarga masih trauma dengan kejadian seperti itu. Perkongsian itu turut menarik perhatian ramai warganet dan masing-masing bersyukur Safra sekeluarga selamat.


EmoticonEmoticon