SEBERANG PERAI - Seorang anggota polis yang menunggang motosikal cedera pada leher selepas terlanggar tali tangsi yang melintang atas jalan di Kilometer 129.6 dekat Plaza Tol Sungai Dua di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata ketika mangsa tiba di lokasi, dia menyedari lehernya tersangkut pada 'benda melintang' sehingga mengalami kecederaan. Mangsa sempat memberhentikan motosikalnya di tepi jalan sebelum dibantu orang awam.
"Selain cedera di leher, mangsa turut mengalami luka di jari tangan kiri dan bahu kanan, namun tiada kerosakan pada motosikal mangsa," ujar Noorzainy dalam kenyataan hari ini.
Noorzainy berkata, siasatan di lokasi kejadian kemudiannya menemui tali tangsi berselerak atas rumput di bahu kiri jalan yang tidak diikat pada mana-mana objek.
Sementara itu, anggota peronda PLUS memberitahu, kemungkinan tali layang-layang itu terputus dan terjatuh ke kawasan lebuh raya terbabit.
"Anggota peronda PLUS kemudiannya telah mengesan objek ditempat kejadian dan menjumpai tali tangsi dari atas pokok susur keluar Sungai Lokan hingga ke bahu kiri lebuh raya dan tidak merentang laluan lebuhraya," kata Noorzainy.
Katanya, anggota polis berusia 24 tahun yang cedera dibawa ke Hospital Kepala Batas, untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar. Siasatan pihaknya mendapati kejadian terbabit tiada unsur sabotaj.
"Ia dipercayai tali layang-layang yang tersangkut dan orang ramai diminta tidak gusar kerana siasatan polis dan pengendali lebuh raya mendapati tiada unsur khianat," katanya.
Terdahulu, kejadian sekitar pukul 4.30 petang itu tular di media sosial selepas pengguna memuat naik video yang memaparkan rakaman berkenaan kejadian itu.
Menerusi rakaman itu ia memaparkan keadaan mangsa yang luka pada leher akibat tersangkut tali tangsi ketika menunggang motosikal di lorong kiri, dari Hospital Bukit Mertajam menuju ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
EmoticonEmoticon