Ahad, 14 Februari 2021

Sewa pangsapuri anjur pesta air ketum, 10 individu ditahan


Butterworth: Sanggup merentas daerah dan menyewa sebuah pangsapuri sambil berpesta air ketum antara tindakan berani 10 individu termasuk dua wanita untuk berhimpun serta melakukan kegiatan tidak bermoral.


Bagaimanapun perbuatan itu dihidu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara yang menjalankan Op Pematuhan Covid-19 dan Op Limau awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menyerbu sebuah pangsapuri di Lebuh Kampung Benggali, di sini pada jam 1.10 pagi susulan menerima laporan berhubung kegiatan tidak bermoral itu.


"Semasa serbuan didapati terdapat sekumpulan individu terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 31 tahun di dalam pangsapuri berkenaan.


"Pemeriksaan yang dijalankan ke atas pangsapuri itu menemui enam bungkusan plastik berikat getah yang setiap satu berisi cecair disyaki air ketum juga satu botol plastik berisi cecair juga disyaki air ketum dan satu set pembesar suara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Noorzainy berkata, siasatan lanjut mendapati 10 individu itu yang kebanyakannya dari Seberang Perai Tengah didapati merentas daerah dan menyewa pangsapuri itu dengan harga RM150 sehari untuk berhimpun dan berhibur hingga melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


"Berikutan itu, semua mereka yang masih bujang itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


"Polis turut mengeluarkan kompaun RM1,000 ke atas kesemua mereka dibawah Peraturan 4(1) dan 10(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana berhimpun untuk aktiviti sosial dan rentas daerah," katanya.


Noorzainy berkata, semakan yang dibuat mendapati semua yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan air kencing juga mendapati mereka negatif.


"Mereka yang ditahan ini termasuk dua peniaga, dua penghantar barang, dua pekerja kilang, dua pekerja depoh, seorang kakitangan hospital dan seorang kakitangan agensi kanak-kanak," katanya.


EmoticonEmoticon