Isnin, 22 Februari 2021

Seludup kucing baka Parsi guna pesawat peribadi


Hasrat seorang perempuan warga China menyeludup masuk seekor kucing baka Persian(Parsi) menggunakan pesawat peribadi tidak kesampaian apabila dikesan pihak berkuasa, khamis lalu.


Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas kucing tersebut yang diimport dari Kemboja. Kucing itu diseludup melalui pesawat peribadi yang tiba di Skypark FBO Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.


Pengarah Maqis Selangor, Zambri Hashim berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 43 tahun mengimport kucing yang bernilai RM350 dari Kemboja untuk peliharaannya.


Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan didapati kucing itu tidak mempunyai Permit Import sah serta dokumen yang diperlukan.


"Pemeriksaan terhadap kucing itu dan mendapati pemilik gagal mengemukakan permit import Maqis serta dokumen yang berkaitan.


"Kegagalan mengemukakan dokumen permit import ketika pemeriksaan di pintu masuk satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].


"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Zambri berkata, penting untuk pengimport mematuhi syarat pengimportan haiwan peliharaan bagi memastikan haiwan bebas dari sebarang risiko penyakit.


"Maqis sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport bagi mengawal dan menjaga biosekuriti dan kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara kita," katanya.


EmoticonEmoticon