Isnin, 1 Februari 2021

Polis India tutup jalan elak petani serbu Parlimen, bantah akta pertanian baharu


New Delhi: Pihak berkuasa India menggali lubang dan memasang halangan kawat berduri sekitar jalan utama menuju ke bangunan Parlimen di New Delhi hari ini bagi menghalang kemasukan protes kumpulan petani.


Difahamkan, tunjuk perasaan golongan petani India yang berlarutan sejak dua bulan lalu itu mungkin menyerbu bangunan Parlimen India, di mana Menteri Kewangan, Nirmala Sitharaman, membentangkan belanjawan hari ini.


Perkhidmatan internet dan khidmat telefon bimbit disekat di beberapa kawasan sekitar pinggir bandar di mana tunjuk perasaan bertukar ganas minggu ini, manakala tahap keselamatan ditingkatkan di sekitar Parlimen dan pejabat kerajaan.


Perarakan kumpulan petani berubah menjadi ganas pada 26 Januari lalu, ketika India menyambut Hari Republik, ratusan ribu petani menyerbu Red Fort di ibu kota India pada bagi membantah akta pertanian baharu yang diperkenalkan kerajaan, selepas merempuh sekatan dan bertempur dengan polis.


Keganasan di ibu kota India itu mencemari sambutan Hari Republik di bandar berkenaan. - Foto AP

Kumpulan petani menunggang kuda dan memandu traktor bagi melanggar sekatan polis dan menyerbu bangunan bersejarah berkenaan, sebagai tanda mencabar kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi.


Jumaat lalu, pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata dan kayu cota untuk menyuraikan tunjuk perasaan berhampiran bandar. Sejak beberapa hari kebelakangan, lebih ramai petani tiba bersama traktor mereka untuk menyertai rakan yang mengadakan protes di tiga lokasi utama di New Delhi sejak kira-kira dua bulan lalu.


Petani terus berkeras mahu kerajaan menarik balik tiga undang-undang pertanian baharu yang diperkenal kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, pada September lalu. Mereka mendakwa peraturan baharu itu akan menjejaskan mata pencarian kerana terdedah kepada manipulasi dan kawalan harga oleh kartel sektor swasta.


Kerajaan pula memberi alasan liberalisasi sektor pertanian akan membuka peluang baharu bagi petani mendapatkan harga terbaik dan menggesa pemimpin mereka mengadakan perbincangan baru bagi mencari jalan penyelesaian.


EmoticonEmoticon