Petaling Jaya: Kes pendakwah selebriti, yang didakwa atas dua tuduhan seksual membabitkan seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Mac ini.
"Sudah tentu, saya sedia untuk dibicarakan," kata pendakwah selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful selepas prosiding pendengaran kes di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini.
Syed Shah Iqmal, 26, yang hadir di mahkamah pada jam 9 pagi tadi bersyukur kerana berada dalam keadaan sihat. Dia juga mengakui semakin gemuk dan berisi selepas keluar daripada tahanan reman Disember tahun lalu.
"Insya-ALLAH, kepada yang berdoa dan menyokong saya dari awal sampai ke hari ini," katanya.
Sementara itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili pendakwah selebriti itu berkata, ketika prosiding di Mahkamah Sesyen, Hakim Jamaludin Mat menetapkan 19 Mac ini bagi sebutan semula kes.
Katanya, tarikh sama ditetapkan bagi prosiding di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol. Prosiding hari ini sepatutnya dijadualkan untuk serahan dokumen namun difahamkan fail kertas siasatan tidak dibawa ke mahkamah.
"Ia berada di pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam. Oleh itu serahan dokumen tidak dapat dibuat," katanya.
Syed Shah Iqmal melambai kepada petugas media di Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas prosiding kes jenayah yang dikenakan terhadapnya hari ini. |
Pada 10 Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan di dua mahkamah di sini.
Di Mahkamah Sesyen, Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Damansara Perdana antara 3 pagi hingga 4 pagi pada 17 Oktober 2020 dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pendakwah tersebut didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di tempat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
EmoticonEmoticon