Ahad, 21 Februari 2021

Pemuda pelik pecah beberapa cermin kereta guna batu bata ditahan

(Gambar kiri) Muhammad Syahir menunjukkan
batu yang dibaling pada cermin keretanya.


Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat perbuatan khianat dengan memecahkan cermin kereta milik penduduk dalam kejadian di taman perumahan sekitar daerah Port Dickson.


Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada Sabtu kira-kira jam 3.50 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Port Dickson di Jalan Kemuning Port Dickson.


Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya merampas tiga motosikal bersama anak kunci, sebuah helmet dan juga pakaian yang digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah di sebuah bengkel di Batu 9, Teluk Kemang.


"Dengan kejayaan ini, kita percaya kejadian cermin kereta pecah dibaling batu bata yang aktif sejak seminggu lalu di sekitar Port Dickson berjaya diselesaikan.


"Siasatan awal pihak polis mendapati suspek bergerak secara solo dan aktif di sekitar kawasan Taman Perumahan di Port Dickson, Teluk Kemang dan Lukut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad, hari ini.


Beliau berkata, batu bata yang digunakan suspek dikutip sendiri di tepi jalan sekitar tempat kejadian. Setakat ini, pihak polis menerima sebanyak 18 laporan polis berkaitan pecah cermin kereta dengan menggunakan batu dan siasatan lanjut masih diteruskan untuk kenal pasti motif kejadian.


Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut, hasil ujian urin suspek adalah negatif serta bebas dari pengaruh dadah namun suspek memiliki satu rekod jenayah membabitkan kesalahan mencuri. Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.


(Gambar kiri) Antara barangan suspek yang dirampas.
(Gambar kanan) Antara batu bata yang digunakan
suspek untuk memecahkan cermin kereta.


Terdahulu, Muhammad Syahir Shuhaimi, 26, salah seorang mangsa berkata, cermin keretanya pecah dibaling batu dalam kejadian pada Khamis, di rumahnya di Taman Dato Haji Abdul Samad di sini.


Menurutnya, ketika kejadian dia berada di dalam bilik sedang bekerja, namun terdengar bunyi motosikal berhenti disusuli dengan bunyi benda meletup.


"Waktu itu saya buat tak tahu sahaja kerana tidak menjangka ada kejadian buruk berlaku.Tiba-tiba ayah datang ke bilik dan beritahu cermin kereta Proton Persona yang dipakir di luar rumah pecah dibaling dengan batu besar," katanya.


Menurutnya, dia kemudiannya telah membuat laporan polis dan difahamkan itu bukan kejadian pertama yang berlaku. Kejadian sama turut dikongsi oleh individu lain di Facebook dan antara lokasi kawasan perumahan yang didakwa turut berlaku kes seumpama itu adalah di Taman Belida, Taman PD Utama dan Taman Intan Duyung.


EmoticonEmoticon