Khamis, 4 Februari 2021

Misteri makam purba terpencil digelar 'Istana Bersendirian' di Madain Saleh


Arab Saudi terkenal sebagai kawasan yang penuh dengan bangunan bersejarah yang dibina daripada bukit batu. Salah satunya adalah Qasr Al-Farid yang berada di Madain Saleh, kota Nabath kedua terbesar, bangsa Arab Purba. Tempat ini adalah makam yang digelar 'Istana Bersendirian'.


Qasr al-Farid (yang bermaksud Istana Bersendirian). Gelaran itu diberikan kerana makam ini terletak jauh dari tapak-tapak bersejarah lain. Kalau dilihat dari jauh, seolah makam ini sendirian tidak berteman. Ia terletak di tapak arkeologi Madain Salih (juga dikenali sebagai al-Hijr atau Hegra) di utara Arab Saudi.


Walaupun dinamakan sebagai istana, Qasr al-Farid sebenarnya adalah makam yang dibina pada sekitar abad ke-1 Masihi. Qasr al-Farid adalah salah satu daripada 111 binaan makam yang bertebaran di sekitar Madain Salih, sebuah tapak yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai tapak Warisan Dunia pada tahun 2008.  


Nasr al-Farid dianggarkan setinggi bangunan empat tingkat yang diukir dari sebongkah batu besar. Ia dibina seawal zaman Kerajaan Nabatea (Suku Nabath membentuk Kerajaan Nabatea) yang telah membina monumen hampir serupa di Petra, Jordan.


Suku Nabath adalah bangsa Arab purba yang memiliki pelbagai kemahiran, salah satunya adalah mengukir batu. Mereka telah menguasai Mediterranean timur hingga ke utara Arab. Tetapi zaman kegemilangan mereka terganggu oleh keadaan ekonomi dan politik orang Rom.


Madain Saleh tidak seberapa terkenal seperti kota lain, jarang pengunjung yang datang ke sini. Sebab tempat ini sangat terpencil terletak di tengah padang pasir yang kering. Beberapa bangunan purba di kawasan ini juga masih ada yang terkubur di dalam pasir.


Namun sayangnya, Qasr al-Farid ini adalah binaan yang tidak sempat disiapkan, malah banyak keraguan mengenai tarikh sebenar makam ini mula dibangunkan dan tiada siapa tahu siapa pemiliknya.





Baca: Petra, Kota Menakjubkan Hilang Ratusan Tahun


EmoticonEmoticon