Kota Bharu: Seorang lelaki warga emas ditemui tidak sedarkan diri di atas pokok setinggi tujuh meter di Taman Sri Ayu, Tanjong Mas, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Mangsa, Zakaria Adam, 62, kemudian disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk pemeriksaan lanjut.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Rosli Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.40 pagi dan jentera sampai ke lokasi kejadian lapan minit kemudian.
Menurutnya, tujuh anggota dari BBP Pengkalan Chepa dikerahkan ke lokasi kejadian dan mangsa diberikan rawatan awal, namun tiada tindak balas.
"Ketika kejadian mangsa baru memanjat pokok sebelum memulakan kerja menebang pokok, namun dua rakannya yang berada di bawah melihat mangsa tidak sedarkan diri.
"Dua rakannya cuba memanggil mangsa beberapa kali, namun tiada sahutan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada tuan rumah yang mengupah mereka untuk menebang pokok.
"Tuan rumah kemudiannya menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan bagi membawa turun mangsa ke bawah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke HRPZ II untuk diperiksa namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
EmoticonEmoticon