(Kiri) Ho Van Lang dan (kanan) Ho Van Thanh yang terpaksa diangkat kerana sudah uzur.
Pernah anda terbayang dalam kepesatan pembangunan teknologi moden, masih ada manusia di dunia ini yang jauh tertinggal? Kisah realiti seakan hampir sama dengan kartun Tarzan yang menjadi kegilaan anak-anak muda pada suatu ketika dahulu.
Walaupun kisah ini sudah agak lama mungkin masih ramai yang tak tahu. Kejadian 'pelik tapi benar' ini berlaku di Hanoi, Vietnam, pada Ogos 2013 beberapa tahun lalu, apabila seorang lelaki Ho Van Thanh, berusia 82 tahun (pada 2013), dan anak lelakinya, Ho Van Lang, berusia 41 tahun dijumpai tinggal di sebuah hutan.
Mereka berdua dipercayai hilang semasa perang negara dengan Amerika Syarikat kira-kira 48 tahun lepas. Kisah bermula apabila Thanh membawa lari Lang ke dalam hutan pada tahun 1972 selepas isteri dan dua anaknya terkorban ketika Vietnam sedang berdepan dengan konflik Perang Vietnam bersama Amerika Syarikat.
Dia melarikan diri dengan membawa anaknya berusia dua tahun ke dalam hutan dan sejak itu tidak pernah berhubung dengan manusia lain. Dia mulakan kehidupan di dalam hutan bersama anaknya, Thanh mula beradaptasi dengan kehidupan baharunya dengan membina rumah di atas pokok, menghasilkan pakaian daripada kulit kayu dan daun selain daripada memburu haiwan liar untuk dijadikan makanan.
Mereka berdua ini ditemui apabila penduduk kampung berhampiran memasuki hutan tersebut dan membuat perjalanan sejauh 40 kilometer untuk mencari kayu. Paling mengejutkan, apabila mereka terjumpa dua rumah pokok milik Thanh dan Lang. Penemuan mereka ini terus dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan.
Ketika dijumpai, jelas keterujaan dan kekaguman di wajah keduanya melihat dunia luar yang jauh berbeza dengan apa yang mereka ada di dalam hutan. Thanh dapat berkomunikasi dalam bahasa etnik minoriti Cor, manakala Lang hanya tahu beberapa patah perkataan ujar Pegawai Tay Tra.
Menurut Hoang Anh Ngoc, Ketua Daerah Hanoi, meminta pegawainya untuk mengawasi mereka berdua untuk memastikan mereka tidak kembali semula ke hutan. Penemuan mereka ini secara tidak langsung mengejutkan pelbagai pihak dan ramai sudah menyangka mereka sudah mati.
Mereka juga tidak pernah berkomunikasi dengan siapa-siapa sepanjang berada di hutan tersebut. Anak beranak itu kelihatan tidak bermaya dan memakai kain pinggang dan kemeja yang terbuat daripada kulit pokok ketika dijumpai. Thanh telah dirawat di pusat perubatan manakala Lang dijaga sendiri oleh keluarganya.
Pada tahun 2017, Thanh yang sudah berusia 86 tahun meninggal dunia dan pada ketika itu Lang mula menghabiskan waktunya di kawasan padang sejauh 4 kilometer dari kawasan kampung tempat beliau tinggal.
EmoticonEmoticon