Sabtu, 20 Februari 2021

Kucing bunting diseksa hingga mati, Polis rujuk JPV siasat penganiayaan itu


Kucing bunting yang ditemukan mati tanpa empat kaki dipercayai akibat didera diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk siasatan.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pemilik kucing itu semalam. Kes itu dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Shah Alam untuk tindakan lanjut.


"Semua kes membabitkan penganiayaan terhadap haiwan disiasat oleh pihak berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu, pemilik kucing, Mur Salina Junaidi, 20, berkata bangkai haiwan peliharaannya yang diberi nama Cantik itu ditemui dalam kotak ditutup dengan kertas surat khabar dekat belakang kereta milik bapa saudaranya.


Mur Salina yang menetap di Taman Harmoni, Gombak, berkata bapa saudara menghubunginya memaklumkan berita sedih itu kira-kira jam 1 tengah hari semalam, sebelum dia bergegas pulang ke rumah.


Mur Salina berkata, kucing berusia setahun enam bulan itu dipeliharanya sejak 2019, Cantik selalunya duduk di atas kereta pak cik dan tidak berkeliaran.


"Itu sebabnya saya terkejut apabila Cantik mati dalam keadaan sebegitu dan apa pun alasannya bukan tiket untuk pelaku bertindak kejam kerana haiwan tidak berakal dan sepatutnya dilindungi," katanya.


Berdasarkan pemerhatiannya, ada kemungkinan kaki Cantik dicabut dan dipatahkan sendiri oleh pelaku, bukan dikerat dengan peralatan tajam. Susulan itu, Mur Salina mengikut bapa saudaranya membuat laporan di Balai Polis Gombak. Mur Salina berterima kasih kepada semua warganet yang prihatin dan memberinya kata semangat.


EmoticonEmoticon