Selasa, 2 Februari 2021

Geng sawah padi tumpas, melakukan pelbagai kesalahan dan ingkar PKP


Sekinchan: Tindakan sekumpulan 12 'samseng jalanan' itu yang dikesan berlumba haram motosikal di kawasan sawah padi mengundang padah apabila ditahan polis, di Jalan Tali Air 9, Sungai Leman, di sini, mereka aktif terutama pada hujung minggu.


Mereka bukan sahaja melakukan aksi merbahaya yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain, malah turut mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul beramai-ramai. Semua samseng jalanan itu bagaimanapun berjaya diberkas susulan serbuan anggota polis yang menyerbu lokasi itu petang semalam.


Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, semua individu berusia 15 hingga 24 tahun ditahan hasil operasi bermula jam 6.30 petang hingga 9 malam.


"Semalam, sepasukan anggota polis dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam membabitkan dua pegawai dan 14 anggota menjalankan Op Samseng Jalanan di lokasi berkenaan.


"Polis sebelum ini membuat pemantauan dan risikan berhubung aktiviti itu yang aktif sepanjang PKP," katanya.


Agus Salim berkata, polis bertindak menahan dan memeriksa 11 kenderaan selain mengeluarkan 43 saman atas pelbagai kesalahan. Pecahan kesalahan membabitkan sembilan tidak memakai topi keledar (9), kesalahan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (7) dan tiada lesen memandu (7).


"Selain itu, kesalahan nombor pendaftaran (6), penunggang bawah umur 16 tahun (5), tiada cermin sisi (4), aksesori tidak sempurna (2), ubahsuai ekzos (2) dan gagal berhenti semasa pemeriksaan (1)," katanya.


Beliau berkata, saman turut dikeluarkan terhadap semua individu terbabit yang diperiksa di bawah Peraturan 10 (1) Larangan Berhimpun dan Berarak.


Anggota polis berpakaian preman menahan 12 individu berusia 15 hingga 24 tahun dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Tali Air 9, Sungai Leman. -Foto Ihsan Pembaca


EmoticonEmoticon