Kuala Lumpur - Tabiat menabung bukan saja bermanfaat malah boleh menjadi penyelamat kerana wang simpanan itu digunakan pada waktu kecemasan.
Namun, lain kisahnya bagi Roslina Masdar, 43, yang kerugian RM1,000 apabila wang disimpan di dalam tin menjadi rosak. Kisah itu mendapat perhatian selepas dikongsikan rakan baiknya, Noorly Mohd Noor, 43, di Facebook (FB) , baru-baru ini.
Noorly berkata, Roslina menyedari simpanan wang kertas dan syiling rosak, petang kelmarin.
"Saya difahamkan Roslina menyimpan not RM20, RM50, RM100 dan syiling di dalam tin sejak tiga tahun lalu. Tabung itu disimpan dalam almari pakaian dan Roslina sudah lama tidak membukanya.
"Jadi dia tidak tahu bagaimana keadaannya sehingga membuka tabung itu tempoh hari untuk mengira wang di dalamnya," katanya ketika dihubungi.
Noorly berkata, Roslina memberitahu hanya RM200 saja dalam keadaan baik manakala bakinya (RM1,000) sudah rosak.
Katanya, keadaan itu membuatkan rakannya hilang kata-kata kerana tidak sangka pengakhiran begitu selepas bertahun menyimpan wang berkenaan.
"Menurut Roslina, sebahagian permukaan syiling di dalam tabung itu menjadi hitam akibat karat manakala wang kertas pula jadi reput .
"Apa yang menyedihkan kerana wang itu sudah lama disimpan dan mengikut perancangan, Roslina mahu gunakan wang itu untuk membeli perabot sebelum berpindah rumah barunya nanti," katanya yang menetap di Lumut, Perak.
Noorly berkata, dia sudah meminta izin daripada Roslina sebelum memuat naik kisah itu di FB.
"Tak sangka pula, ramai yang memberi maklum balas dan kebanyakannya positif serta mencadangkan wang itu dibawa ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk diperiksa sama ada boleh ditukar atau sebaliknya.
"Namun, ada juga yang memberi komen negatif seolah-olah mempersoalkan cara Roslina menjaga wang.
"Sedangkan, dua tabung lain yang disimpan oleh Roslina dalam keadaan baik dan sebagai rakan lama, saya kagum dengannya kerana suka menabung sejak dulu lagi," katanya.
EmoticonEmoticon