Selasa, 23 Februari 2021

DJ ketawa terbahak-bahak persenda bahasa Inggeri guru, letak jawatan


Penyampai radio Hitz FM Sarawak, DJ Yusuf meletak jawatan berkuat kuasa, semalam. Ia susulan kontroversi membabitkan Yusuf, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Shukri yang mempersenda bahasa Inggeris seorang guru di aplikasi TikTok.


Perletakan jawatan itu disahkan pihak pengurusan Hitz FM Sarawak menerusi hantaran di Instagram.


"Hitz FM tetap komited untuk terus memberi maklumat dan hiburan kepada rakyat Malaysia. Berikutan siasatan dalaman kami mengenai kontroversi baru-baru ini yang membabitkan salah seorang penyampai kami, pihak kami sudah menerima perletakan jawatannya berkuatkuasa 22 Februari 2021," tulisnya


Terdahulu, DJ Yusuf atau nama sebenarnya, Muhammad Yusuf Shukri, 29, terbabit kontroversi apabila memuat naik video di aplikasi TikTok mempersenda cara sebutan bahasa Inggeris seorang guru wanita.


Video yang dimuat naiknya itu mengundang kecaman netizen hingga dia akhirnya tampil membuat permohonan maaf di Instagram TV pada 20 Februari lalu.


Yusuf menerusi video permohonan maaf itu turut meminta bantuan secara terbuka supaya dia dapat dihubungkan dengan guru berkenaan bagi membolehkannya memohon maaf atas sikap yang ditunjukkan.


"Perkara pertama adalah saya dengan seikhlas hati memohon maaf kerana mempersenda guru terbabit. Ia langsung tidak lucu dan saya tak boleh menjadikan ini sebagai alasan untuk membenarkan sesuatu sikap buruk," katanya.


Terdahulu, tindakan Yusuf memuat naik video sebagai respons kepada sebutan bahasa Inggeris guru wanita sambil memaparkan reaksinya ketawa berdekah-dekah mencetuskan kemarahan netizen yang turut mendesak stesen radio Hitz FM Sarawak memecat Yusuf.


Susulan itu, Yusof digantung tugas serta-merta menerusi kenyataan dikeluarkan wakil pengurusan stesen radio itu pada 19 Februari lalu. Hasil tinjauan di Instagram Yusuf setakat ini, dia masih belum membuat sebarang kemaskini dan memaklumkan mengenai perletakan jawatannya itu.


EmoticonEmoticon