Sabtu, 27 Februari 2021

Cuba rempuh polis, Bob Mah Sing dan rakannya direman empat hari


Dua lelaki yang bertindak nekad merempuh dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierrama, Sungai Buloh, di sini semalam direman selama empat hari. Perintah reman dikeluarkan Majistret Petaling Jaya Zhafran Rahim Hamzah bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.


Terdahulu, suspek yang dilihat memakai baju lokap berwarna ungu dan berseluar ungu tiba di hadapan pintu masuk mahkamah pada jam 11 pagi dikawal ketat anggota polis. Suspek kemudian dibawa ke bilik reman di tingkat satu kompleks bangunan mahkamah.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, permohonan reman itu dilakukan bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut.


"Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 307, 427 dan 188 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958," katanya.


Sebelum ini, tular satu video berdurasi satu minit 45 saat menunjukkan anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan itu selepas suspek enggan memberhentikan kereta.


Kenderaan bernombor pendaftaran MAS 175 itu dilihat melanggar bahagian belakang lori dan sisi kereta Perodua Myvi beberapa kali, di persimpangan lampu isyarat Sierrama, sehingga berjaya mencelah. Kereta tersebut akhirnya ditemui ditinggalkan berhampiran MRT Damansara Damai hanya kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.


Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9) menemui dan merampas plastik lut sinar, dipercayai berisi dadah jenis heroin seberat 1.7 gram dalam kereta ditinggalkan suspek.


Polis kemudian berjaya menahan salah seorang suspek yang berusia 35 tahun di sebuah kawasan perumahan di Desa Aman hasil maklumat orang awam dan berjaya menahan seorang lagi lelaki dikenali sebagai Bob Mah Sing di sebuah rumah semalam yang berjaya melarikan diri ketika kejadian.


Bob Mah Sing dan rakannya yang ditahan semalam direman 4 hari sehingga 2 Mac ini untuk membantu siasatan polis selepas terlibat insiden merempuh kenderaan awam dan lari dari pemeriksaan polis dari Gombak ke Sungai Buloh.


EmoticonEmoticon