Ahad, 28 Februari 2021

Bintang Shaolin Soccer, Ng Man Tat meninggal dunia dalam tidur


Bintang filem Shaolin Soccer, Ng Man Tat, 70, disahkan meninggal dunia akibat kanser hati di Hospital Union, Hong Kong, hari ini.


Kenalan rapatnya, Tenky Tin Kai Man, memaklumkan kepada media Hong Kong, mendiang meninggal dunia pada jam 5.16 petang di Hospital Union, Hong Kong di samping isteri, anak-anak dan saudara mara.


"Doktor memberi ubat bagi melegakan kesakitan selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sejak beberapa hari lalu. Man Tat meninggal dunia ketika isteri, anak dan adik beradik berada di sisinya.


"Beliau menjalani pembedahan selepas didiagnosis penyakit kanser hati dan menjalani kemoterapi. Keadaan Man Tat lemah dan hanya mampu berkomunikasi menggunakan isyarat tangan. Kesihatan Man Tat semakin merosot, sejak kebelakangan ini," kata Kai Man.



Pada 2014, dia dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah pernafasan sebelum disahkan menghidap masalah jantung. Pada penghujung tahun lalu, Man Tat disahkan menghidap kanser hati dan menjalani rawatan di Macau.


Man Tat memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan pada usia 22 tahun pada 1973. Sepanjang kerjayanya, beliau banyak bergandingan dengan Raja Komedi Hong Kong, Stephen Chow, antaranya The Final Combat, The Justice of Life dan Shaolin Soccer. Pemergiannya cukup dirasakan Chow.


Menurut Chow, meskipun sudah bersedia dari sudut mental, namun kehilangan rakan seperjuangan adalah sesuatu yang amat memedihkan.


"Walaupun sentiasa memberi perhatian kepada tahap kesihatannya, malah saya sudah membuat persediaan dari sudut mental, tetapi berita ini amat menyedihkan.


"Man Tat adalah rakan lama. Kami sudah bergandingan, sejak sekian lama. Saya tidak dapat menerima kenyataan pemergiannya," kata Chow.


Pada 1991, mendiang dianugerahkan Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Filem Hong Kong menerusi karakternya dalam A Moment of Romance yang turut dibintangi pelakon Andy Lau.


EmoticonEmoticon