Khamis, 18 Februari 2021

Berkait kes rogol, persundalan, pengasas Sugarbook ditahan semula


Pengasas aplikasi Sugarbook yang ditolak permohonan reman ke atasnya pagi tadi, ditahan semula oleh polis bagi membantu siasatan berkaitan kes rogol dan persundalan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata penahanan lelaki berusia 34 tahun itu dibuat berikutan satu laporan polis daripada seorang pelajar institut pengajian tinggi pada 2019.


Beliau berkata, kejadian berkenaan dilaporkan kepada berlaku di Subang Jaya, pada 19 Februari 2019.


"Lelaki itu telah ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 376 dan 372 Kanun Keseksaan berikutan laporan polis yang dibuat oleh pelajar wanita berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.


Pagi tadi, lelaki itu dibebaskan polis selepas permohonan reman terhadapnya ditolak Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Noorasyikin Sahat, selepas membuat aku janji bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan berkaitan aplikasi itu


Fadzil berkata, Pengarah Pendakwaan Selangor sudah membuat permohonan semakan ke atas keputusan penolakan permohonan reman itu.


"Permohonan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah di Shah Alam pada jam 9 pagi, esok," katanya.


Terdahulu media melaporkan usahawan tempatan dari Minden, Gelugor, Pulau Pinang itu ditahan pada 4.30 petang di sebuah kondominium di Kuala Lumpur semalam. Dia disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


EmoticonEmoticon