Jumaat, 5 Februari 2021

250 kilogram keropok keping sudah ditempah pelanggan rosak


Kuala Terengganu: Sebanyak 250 kilogram keropok keping yang sudah ditempah pelanggan dan akan dihantar sebelum Tahun Baru Cina, bernilai lebih RM3,000 rosak selepas sebuah premis memproses keropok kering di Kampung Pantai, Kuala Ibai, di sini, terbakar, malam tadi.


Pemilik premis, Mohd Aidil Harun, 44, berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu, semua 11 pekerja berada di luar premis dan sebahagiannya ada yang sudah pulang ke rumah.


Menurutnya, akibat kejadian itu, dia yang sudah 18 tahun mengusahakan keropok keping mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila pelbagai peralatan memproses makanan musnah.


"Semua 250 kilogram keropok berkenaan sudah ditempah pelanggan dan akan dihantar sebelum Tahun Baru Cina.


"Mungkin itu bukan rezeki saya. Bagaimanapun bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan nyawa dan reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Mohd Aidil berkata, ketika kejadian, seorang pekerja sedang melakukan proses menyalai keropok menggunakan kaedah pengeringan menggunakan api dapur gas.


Katanya, selepas kira-kira 20 minit, pekerja terbabit keluar, dia terkejut apabila melihat api membakar bidai buluh yang berada berhampiran dapur sebelum merebak ke seluruh ruang dapur.


"Api cepat merebak dan usaha memadamkan api dilakukan pekerja dan penduduk namun gagal sebelum menghubungi anggota bomba," katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, seramai 18 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kebakaran jam 7.15 malam.


"Kita mengambil masa selama lima minit bagi memadamkan api daripada merebak dan kerja pemadaman selesai sepenuhnya jam 8.15 malam," katanya.


EmoticonEmoticon