Selasa, 26 Januari 2021

Seorang ibu ditemani 3 anaknya mencari sisa makanan dalam tong sampah


Wanita yang dikenali sebagai Norizza Husin merupakan ibu tunggal hanya mampu memcari pendapatan dengan mengutip barangan kitar semula untuk menyara empat orang anak yang masih kecil. Norizza pernah bekerja di kilang membuat keropok lekor namun terpaksa dicutikan tanpa gaji sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Kelantan, 16 Januari lalu.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, turun padang menziarahi keluarga ibu tunggal, Norizza Husin yang tular sejak kelmarin.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat turut menghulurkan bantuan kewangan dan memberi nasihat serta kata-kata semangat kepada empat anak Norizza di rumahnya di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, Kelantan.


Keluarga Norizza tular di media sosial selepas rakamannya memunggah tong sampah bagi mencari barangan kitar semula untuk dijadikan punca pendapatan di sekitar kampung halamannya. Lebih menyentuh hati, menerusi rakaman itu terlihat Norizza mencari 'hasil' di dalam tong sampah itu ditemani tiga anaknya yang masih kecil.


Che Abdullah berkata, pihaknya menziarahi keluarga Norizza pada 24 Januari lalu sebaik saja kisahnya itu tular di media sosial.


"Saya tiada daya untuk menghalang dia (Norizza) mencari barangan kitar semula untuk dijadikan pendapatan tambahannya.


"Namun, saya nasihatkannya supaya tidak mencari sisa makanan di dalam tong sampah seperti spekulasi tular di media sosial.


"Sebaliknya, datang ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tumpat untuk mengambil barangan makanan keperluan asas yang kami biasa sediakan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Pada masa sama, beliau menasihatkan keluarga asnaf di sekitar Tumpat supaya hadir ke pusatnya jika memerlukan bantuan makanan. Sementara itu, Penghulu Mukim Jubakar Pantai, Ab Rashid Ngah berkata, dia sudah lama mengenali Norizza dan sememangnya berasal daripada keluarga susah.


"Norizza mendapat bantuan daripada pelbagai pihak antaranya penduduk kampung, pengurusan masjid dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).


"Norizza menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan sejak lebih dua tahun lalu," katanya.


Menurutnya, Norizza mengambil upah menyiang ikan selain mengutip barangan kitar semula seperti tin, besi dan plastik sebagai pendapatan tambahan. Terdahulu, banyak media melaporkan kisah Norizza dibantu pasangan suami isteri selepas simpati dengan keadaan ibu tunggal itu yang gigih mencari rezeki di dalam tong sampah.


EmoticonEmoticon