Jumaat, 22 Januari 2021

Saintis dakwa lelaki dijangkiti Covid-19 akan mandul


London: Menurut kajian dilakukan pakar mendapati virus Covid-19 berisiko menyebabkan kemandulan kepada lelaki. Dalam penyelidikan dilakukan saintis yang diterbitkan dalam Jurnal Open Biology kelmarin mendedahkan, kemandulan itu disebabkan virus Covid-19 berupaya mengurangkan kuantiti dan kualiti sperma.


Penemuan baharu saintis dalam laporan berkenaan menggariskan kesan membimbangkan kepada pasangan yang pernah dijangkiti Covid-19 untuk mendapatkan anak. Namun, masih terlalu awal untuk memahami kesan SARS-CoV-2 terhadap kesuburan lelaki. Tetapi, terdapat bukti menunjukkan kemungkinan kerosakan testikel berlaku disebabkan jangkitan Covid-19.


"Sistem pembiakan lelaki disimpulkan sebagai sasaran utama paling berpotensi mendapat jangkitan Covid-19 yang disokong oleh beberapa bukti awal dan mengurangkan tahap kesuburan seseorang itu.


"Ini boleh menimbulkan ancaman global terhadap potensi kesuburan lelaki kerana golongan ini lebih mudah mendapat jangkitan Covid-19 berbanding wanita terutama pada usia yang sesuai untuk mendapatkan cahaya mata," lapor kajian itu.


Laporan penyelidikan awal itu turut menunjukkan kemungkinan penularan Covid-19 secara seksual boleh menyebabkan komplikasi teruk pada pasangan yang dijangkiti. Pasukan penyelidik percaya kehadiran reseptor ACE2 di testis menjadikan sel genital atau alat sulit lelaki sebagai sasaran jangkitan berpotensi. 


Cara kedua adalah menerusi keradangan yang disebabkan virus Covid-19 yang menyebabkan kerosakan kekal pada tisu pembiakan lelaki. Keradangan di sekitar jantung juga dapat menyekat atau menurunkan bekalan darah ke zakar yang akan mengakibatkan kegagalan ereksi.


Cara ketiga kesan virus korona terhadap kesuburan lelaki adalah menyebabkan keradangan di seluruh sistem badan yang menjadikan tahap hormon kesuburan mereka tidak stabil. Manakala faktor keempat adalah tekanan perasaan yang diketahui mempengaruhi kesihatan seksual dan telah menjadi isu bagi ramai orang sepanjang penularan wabak ini.


Laporan itu juga mengatakan Covid-19 juga dapat meningkatkan tekanan oksidatif badan ke tahap yang tinggi sehingga dapat mempengaruhi bentuk, jumlah, daya maju dan kemampuan sperma.


Salah seorang penyelidik, Prof Shubhadeep Roychoudhury berkata, lelaki yang dijangkiti Covid-19 perlu diberi konsultasi psikologi bagi mengelakkan ketakutan yang tidak rasional dan tekanan yang berlebihan kerana ini secara tidak langsung mempengaruhi kesihatan serta sistem pembiakan.


"Ia adalah penting untuk melihat jika lelaki yang positif virus itu dan pernah mempunyai anak mengalami masalah itu atau tidak pada masa depan. Cara untuk mencari jalan penyelesaian masalah itu masih terhad sehingga kita mendapat jawapan," jelasnya lagi.


Kajian sebelum ini mendapati golongan lelaki juga adalah paling berisiko meninggal dunia akibat Covid-19 yang dipercayai ada kaitan dengan tindak balas sistem imun, genetik atau hormon seks.


EmoticonEmoticon