Johor Bahru: Polis Johor merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM125.8 juta yang boleh menampung 5.4 juta penagih, dalam 16 serbuan selama dua hari, bermula pada 2.45 petang Sabtu hingga 6.40 petang Ahad lalu menyaksikan 15 suspek iaitu lapan lelaki dan tujuh wanita warga tempatan berusia antara 17 hingga 62 tahun ditahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, ia kejayaan rampasan dadah terbesar di Malaysia, membabitkan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah, setakat awal tahun ini.
Beliau berkata, ketua sindiket berkenaan yang berusia 30-an turut ditahan dan siasatan masih dijalankan sama ada terdapat saki baki ahli sindiket masih bebas termasuk kewujudan dalang lain.
"Kami membuat risikan selama setahun terhadap sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang beroperasi di dua rumah sekitar bandar raya ini yang dijadikan stor penyimpanan dan makmal memproses dadah.
"Sindiket ini dipercayai aktif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu berikutan semua pintu sempadan negara dikawal ketat membuatkan dadah diseludup dari luar negara tidak dapat masuk, lalu mereka memproses sendiri dadah.
"Dadah dirampas adalah syabu sebanyak 72.61 kilogram (kg), serbuk ecstacy (12.81kg), ganja (5.44kg), 3.72 juta biji pil eramin 5, 397,905 pil ekstasi, heroin (4.0 gram), ketamin (28 gram), jus mangga (8.5 gram), serbuk dadah seberat 969.15 kg selain enam mesin dan peralatan memproses dadah.
"Turut dirampas 13 kereta mewah pelbagai jenama, sebuah motosikal Kawasaki, wang tunai RM2.28 juta, pelbagai mata wang asing bernilai RM284,000, jongkong emas seberat 1kg, empat utas jam tangan jenama Rolex dan pelbagai jenis barang kemas yang kesemuanya bernilai RM5.43," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Razarudin berkata, makmal dadah itu mampu memproses 3,000 biji pil dadah pelbagai jenis dalam masa satu jam selain mampu menghasilkan lebih 300,000 biji dalam tempoh kurang tiga hari.
Beliau berkata, dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan, namun tidak menolak kemungkinan ia turut diseludup ke pasaran luar. Semua 15 suspek direman bermula Ahad lalu hingga 16 Januari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
"Tiga daripada suspek ditahan didapati positif dadah manakala hasil semakan rekod lampau mendapati mereka mempunyai enam kesalahan lampau antaranya membabitkan kesalahan dadah, senjata api dan ugutan jenayah, " katanya.
EmoticonEmoticon