Khamis, 7 Januari 2021

Operator kilang dan seorang wanita didakwa cuba bunuh anggota polis


Butterworth: Operator kilang dan rakan wanitanya didakwa di Mahkamah Sesyen, sini, atas tuduhan cuba membunuh seorang anggota polis bagi mengelak mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Song Bang Kheng, dekat sini, pada 31 Disember lalu.


Tertuduh, Muhammad Syafiq Mohd Ansari, 30, dan rakannya, Nurul Fatin Azira Saiful Hadi, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.


Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Syafiq dan Nurul Fatin didakwa mencapai niat bersama cuba membunuh seorang anggota polis, Sarjan Mejar Abdul Wahab Noor di Jalan Song Bang Kheng dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 11.40 malam pada 31 Disember lalu.


Mereka berdua didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.


Ketika prosiding kes berlangsung, Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya Darrsini memohon kepada mahkamah supaya tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin memandangkan kesalahan jenayah berat dilakukan.


Bagaimanapun, peguam, Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri yang mewakili Muhammad Syafiq memohon budi bicara mahkamah supaya anak guamnya diberikan ikat jamin dengan alasan tertuduh sudah berkahwin dan perlu membantu menyara adiknya yang masih kecil.


Manakala tertuduh kedua, Nurul Fatin yang tidak diwakili peguam bangun membuat rayuan supaya dibolehkan diikat jamin memandangkan dia perlu menjaga ibu serta dua adiknya yang masih bersekolah.


Hakim kemudian membenarkan masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan supaya kedua-dua tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 15 hari bulan setiap bulan sehingga kes selesai..Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 8 Februari depan.


Difahamkan, Muhammad Syafiq berdepan lagi dua pertuduhan di Mahkamah Bukit Mertajam hari ini atas dakwaan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam iaitu pasukan polis semasa mereka menjalankan kewajipan sebagai penjawat awam.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Selain itu, dia didakwa bersama mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 kerana tidak mematuhi isyarat pegawai polis dalam sekatan jalan raya yang dilakukan. Bagi kesalahan itu, Muhamad Syafiq boleh dihukum penjara tidak melebihi setahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.


EmoticonEmoticon