Ahad, 10 Januari 2021

Nelayan dengar ledakan, lihat pesawat Sriwijaya Air terhempas


Jakarta: Beberapa nelayan sekitar Pulau Lanchang di Laut Jawa mendakwa melihat pesawat Sriwijaya Air terhempas ketika hujan lebat. Malah nelayan juga mendengar dua letupan kuat di lokasi sama tidak lama selepas itu.


Kompas.com melaporkan, tidak lama selepas itu nelayan juga menemui serpihan badan pesawat di perairan berkenaan kira-kira jam 2 petang waktu tempatan.


Ketua Bahagian Pemerintah dan Transit Daerah Kepulauan Seribu Selatan, Surachman mengesahkan pihaknya mendapat maklumat berkenaan daripada nelayan tempatan.


"Nelayan sempat mendengar dua letupan kuat di lokasi dan hujan lebat ketika kejadian. Pelbagai barangan dipercayai milik penumpang juga ditemui seperti beg, pakaian dan serpihan kulit manusia namun belum dapat disahkan," katanya.


BBC News Indonesia melaporkan lelaki dikenali sebagai Solihin memaklumkan pesawat meluncur seperti petir dan terus menuju ke laut. Katanya, ia menyebabkan bunyi letupan bawah laut yang begitu kuat sehingga serpihan pesawat tercampak.


"Serpihan pesawat juga hampir terkena pada kapal saya," katanya.


Kontak terakhir pesawat itu dengan menara kawalan udara adalah pada jam 2.40 petang waktu Indonesia Timur. Pesawat itu dijadualkan tiba di Pontianak, jam 3.15 jam waktu Indonesia Timur (4.15 waktu Indonesia Barat).



Ahli keluarga berkumpul di lapangan terbang Supadio, Kalimantan Barat


Puluhan keluarga penumpang nahas pesawat Sriwijaya Air SJY182, berkumpul di Lapangan Terbang Supadio di Wilayah Kubu Raya, Kalimantan Barat, sejak malam tadi.


Seorang daripada keluarga mangsa Yaman Z Zai berkata, dia menunggu perkembangan lanjut mengenai isteri dan tiga anaknya. Dia yang menetap di Pontianak itu ternyata gagal mengawal kesedihan ketika bercerita lanjut kepada wartawan di Pontianak, lapor BBC News Indonesia.


"Ada empat ahli keluarga saya di dalam pesawat itu iaitu isteri dan tiga anak," katanya ketika ditemui pemberita. Dia memaklumkan baru setahun bekerja di Pontianak dan berhajat untuk membawa isteri dan anaknya bercuti.


Selain itu, ahli keluarga penumpang juga tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, di sini, untuk mengetahui maklumat terkini nahas. Pesawat malang itu dalam penerbangan dari Jakarta menuju Pontianak sebelum dilaporkan putus hubungan di Kepulauan Seribu di Laut Jawa.


Kerajaan Indonesia mengarahkan 10 kapal Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL) ke titik koordinasi terakhir pesawat itu untuk operasi pencarian. Pesawat berkenaan dalam keadaan 'layak terbang' mula beroperasi dengan Sriwijaya Air pada 1994.


Pengarah Sriwijaya Air, Jefferson Irwin Jauwena mengesahkan pesawat syarikat berkenaan dalam keadaan baik sebelum dibenarkan terbang.


"Keadaan pesawat baik untuk penerbangan ulang alik ke Pontianak dan seharusnya tiada masalah dan lancar.


"Kelewatan berlepas selama 30 minit bukan disebabkan masalah pesawat namun kerana cuaca hujan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta.



EmoticonEmoticon