Rembau: Seekor kucing batu atau nama saintifiknya Prionailurus Bengalensis ditemui mati di percayai dilanggar kenderaan di Jalan Bongek-Gadong menghala ke Gunung Datuk, dekat sini, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, bangkai binatang itu ditemui orang awam kira-kira jam 7.20 pagi tadi. Bangkai kucing batu dengan anggaran seberat 600 gram itu ditemui di atas jalan raya.
"Kucing batu jantan ini mungkin mati disebabkan kecederaan dalaman akibat dilanggar kenderaan. Bangkai binatang berkenaan bagaimanapun sudah diambil oleh kakitangan jabatan ini sebaik dimaklumkan orang awam dan dibawa ke jabatan ini untuk kajian," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, kucing batu adalah spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Wan Mat berkata, lokasi kemalangan berkenaan membabitkan hidupan liar terbabit adalah kawasan ladang sawit serta berpaya dan jauh daripada penempatan penduduk.
"Kita percaya mungkin binatang itu mencari makanan di kawasan habibatnya. Jadinya, pengguna jalan raya perlu berhati-hati dan berwaspada melalui kawasan hutan bagi mengelak kemalangan membabitkan hidupan liar.
"Orang ramai yang menemui hidupan liar yang cedera atau mati diharap segera memaklumkan kepada PERHILITAN dan menjadi kesalahan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar jika mengambil bangkai atau sebahagian daripadanya," katanya.
Sebelum itu, viral di laman sosial Facebook mengenai penemuan orang ramai yang menyangka bangkai kucing batu berkenaan adalah seekor anak harimau.
Kucing Batu (Leopard Cat) ialah salah satu daripada haiwan yang terdapat di Asia Tenggara, subbenua India dan timur China, nama sainsnya Prionailurus bengalensis. Walaupun sama-sama tergolong dalam keluarga Felidae, kucing ini berlainan genus dengan kucing rumah (Felis catus), mata dan telinga kucing batu lebih besar berbanding kucing rumah, begitu juga dengan saiz keseluruhannya.
EmoticonEmoticon