Pasti korang biasa dengar mengenai penyakit kusta bukan? Korang tahu tak penyakit kusta atau Leprosy adalah antara penyakit tertua di dunia? Disebabkan itu juga wujud sambutan Hari Kusta Sedunia, World Leprosy Day yang disambut pada setiap hari Ahad terakhir bulan Januari setiap tahun.
Ia disambut bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa penyakit Kusta yang dahulunya sangat digeruni boleh disembuh dan dibasmi sepenuhnya. Hari ini menerusi hantaran di Facebook, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkongsi kepada umum mengenai apa itu penyakit kusta.
Penyakit kusta juga dikenali sebagai penyakit Hansen. Ia adalah penyakit berjangkit yang kronik, disebabkan oleh sejenis kuman yang bernama Mycobacterium leprae. Bakteria itu boleh menjangkiti kulit dan saraf-saraf periferal serta tisu-tisu lain seperti mata, saluran pernafasan, selaput dalaman hidung dan testis.
Apa yang menyebabkan penyakit kusta? Bagaimana ia merebak? Adakah ia penyakit yang diwarisi?
Hakikatnya, penyakit kusta bukanlah penyakit yang berjangkit secara agresif dan ia juga tidak diwarisi. Ia boleh diubati, malah kusta bukannya satu sumpahan dalam kehidupan seperti yang dianggapkan orang ramai.
Stigma ke atas penyakit dan pesakit kusta ini perlu diubah agar mereka dapat menerima rawatan dengan segera selain menjalani kehidupan seperti orang lain tanpa perlu diasingkan seperti zaman dahulu.
Bakteria ini membiak dengan perlahan dan tanda-tanda atau gejala penyakit mungkin mengambil masa lebih daripada dua hingga lima tahun untuk muncul. Kini, kusta boleh dirawat dengan berkesan dan pengasingan pesakit tidak diperlukan lagi.
Pesakit kini boleh tinggal dengan ahli keluarga dan masyarakat ketika mereka menerima rawatan. Ramai yang menganggap penyakit kusta sudah lupus kerana kurang mendengar cerita tentang penyakit tersebut, tetapi ia masih wujud di lebih daripada 100 negara termasuk Malaysia dengan sebanyak 300 hingga 350 kes baru didiagnosa setiap tahun.
Selain itu penyakit itu juga mampu merebak dengan bawaan udara (airborne) dan ia merebak melalui titisan di udara. Apabila pesakit penyakit kusta bersin atau batuk, titisan yang mengandungi bakteria akan dilepaskan ke dalam udara. Penyakit ini boleh merebak apabila seseorang menghirupi titisan udara tersebut.
Namun, ia tidak mudah untuk seseorang itu mendapat penyakit kusta. Lebih daripada 95 peratus orang secara semula jadi imun (kebal) kepada bakteria kusta, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan endemik penyakit ini.
Penyakit kusta tidak merebak melalui sentuhan pada luka-luka yang terdapat pada anggota atau badan pesakit kusta yang lain. Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, sentiasa mengutamakan kebersihan diri seperti kerap mandi dan kerap mencuci tangan dengan betul menggunakan sabun atau menggunakan bahan pencuci tangan (hand sanitizer).
Selain itu, disinfeksi kawasan rumah juga sangat digalakkan untuk membasmi virus yang kebanyakannya bebas berada di udara yang pastinya kita tidak akan Nampak dengan pandangan mata kasar.
Sejarah cara rawatan penyakit Kusta
Terdapat ubat yang mampu menyembuhkan penyakit berkenaan yang ditemui 1983 dikenali sebagai ‘Multi Drug Treatment’ (MDT) iaitu gabungan tiga jenis antibiotik Dapson, Clofazimin dan Rifampicin.
Sebelum kemunculan MDT, pesakit kusta hanya bergantung pada dua jenis ubat bagi memperlahankan keaktifan bakteria itu. Antaranya menggunakan kaedah tradisional iaitu menerusi suntikan dua kali seminggu minyak daripada herba hydnocarpus wightiana atau buah kusta kepada pesakit sebelum 1940.
Kemudian digantikan antibiotik Dipson pada 1940 hingga 1980. Namun keberkesanan dua ubat ini tidak mampu menandingi kehebatan MDT kerana pesakit perlu bergantung dengan ubat berkenaan (herba hydnocarpus wightiana dan Dapson) sepanjang hayat selain risiko pengulangan penyakit itu.
Oleh itu, dengan penggunaan antibiotik MDT pesakit tidak lagi perlu menjalani rawatan pencegahan menerusi kaedah pengasingan seperti yang diamalkan sebelum program Kawalan Kusta Kebangsaan dilancarkan pada 1970.
EmoticonEmoticon