Lipis: Pejabat Hutan Daerah Lipis (PHD) berjaya menyekat kegiatan melombong emas secara haram dengan penemuan kawasan cari gali bahan berharga itu di Kompartmen 86, Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Batu Yon, di sini semalam.
Pegawai PHD Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, kejayaan itu hasil semakan seterusnya menemukan kawasan terbabit, namun kumpulan itu dipercayai baharu meninggalkan tempat berkenaan. Serbuan di kawasan carigali terbabit menemui tapak khemah sindiket dipercayai dianggotai empat hingga enam individu yang berpengalaman luas dalam kegiatan itu.
Menurutnya, pemeriksaan turut mendapati kegiatan melombong emas di situ masih baharu dilakukan dan kesan aktiviti mengambil pasir dan mengorek batu dalam sungai masih berada pada peringkat awal serta kerosakan permukaan tanah masih sedikit namun suspek sudah meninggalkan tempat itu.
Katanya, kesan penggunaan jentera untuk kegiatan haram itu masih pada tahap tidak serius, pencemaran air sungai yang kebiasaannya berlaku tidak dikesan masyarakat setempat sebelum ini.
"Pemeriksaan di sekitar kawasan terbabit menemukan jengkaut dan lori hantu yang digunakan untuk memindahkan pasir serta batu, mereka menyimpan jentera berkenaan di Kompartmen 80 Hutan Simpan Ulu Jelai kira-kira dua kilometer dari kawasan aktiviti melombong.
"Turut ditemui di situ palong besi yang digunakan untuk kegiatan melombong emas, sindiket terbabit menjadikan Hutan Simpan Ulu Jelai sebagai lokasi kegiatan mereka berikutan kawasan di situ dipercayai mengandungi galian emas yang tinggi," katanya, ditemui di sini, semalam.
Beliau berkata, kes itu adalah kejayaan pertama PHD Lipis tahun ini yang sentiasa memberi perhatian serius terhadap kegiatan melombong emas secara haram dan tahun lalu sebanyak lima kes dikesan dan menahan beberapa individu.
Nor Shahrini berkata, kegiatan melombong secara haram di dalam hutan simpan bukan sahaja menyebabkan pencemaran sumber air, malah menyebabkan hakisan dan kemusnahan hutan.
Katanya, difahamkan terdapat sindiket terbabit menggunakan kemudahan moden untuk mengesan kedudukan kawasan jajaran emas menyebabkan mereka mengeluarkan modal besar untuk menyediakan kelengkapan seperti palong, jentera dan enjin pam air.
"Kita bertindak menyita hasil penemuan termasuk dua jentera dan proses membawa keluar mengambil masa lebih 12 jam untuk disimpan di pusat simpanan barangan rampasan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Batu 18 Tersang, Raub.
"Mereka yang ditahan melakukan kegiatan melombong emas secara haram dalam hutan simpan akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.
EmoticonEmoticon