Sabtu, 23 Januari 2021

Jutawan segera, niat pancing ikan, yang tersangkut muntah ikan paus bernilai kira-kira RM1 juta

Ambergis yang tersangkut pada kail Mahapan.


Bukan mudah untuk jadi seorang bergelar jutawan, ada yang berkerja seumur hidup namun kehidupan hanya cukup-cukup makan sahaja. Namun, lain pun kisah seorang nelayan di Thailand ini apabila mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka pada awal tahun 2021.


Yang dipancing ikan, yang tersangkut Ambergis. Begitu nasib seorang pemancing di Songkhla yang mendapat durian runtuh apabila Ambergis seberat tujuh kilogram tersangkut pada pancingnya. Chalermchai Mahapan, hanya memancing ikan laut di Pantai Samila, minggu lalu namun tidak menyangka mendapat sesuatu yang boleh menjadikannya seorang jutawan segera.


Ambergis atau muntah ikan paus yang diperolehnya itu dianggarkan bernilai antara RM950,000 hingga RM1.1 juta. Ia adalah bahan berlilin yang terdapat dalam usus sesetengah ikan paus sperma. Apabila dikeringkan, ia akan menghasilkan bau yang kuat dan digunakan dalam minyak wangi yang mahal.


Selain itu, ia mempunyai nilai yang tinggi di pasaran kerana baunya yang tahan lebih lama. Pada awalnya, Mahapan menyangka kailnya tersangkut batu namun bila dilihat secara dekat, dia menyedari ia adalah sesuatu yang berharga.


"Saya memang tidak tahu apa-apa dan bertanya kepada orang lama di sini dan mereka memaklumkan kepada saya itu adalah muntah ikan. Gumpalan itu kemudiannya dihantar ke makmal dan disahkan sebagai muntah ikan," katanya.


Muntah ikan paus gred A bernilai RM13.4 juta ditemui di Thailand


Narit Suwannasang, 60, menunjukkan sebahagian gumpalan Ambergis yang ditemui terdampar di pantai dekat rumahnya di Daerah Nakhon Si Thammarat, Thailand selatan, Thailand (1/12/2020).


Pada 1 Disember 2020 lalu seorang nelayan, Narit Suwannasang, 60, di Daerah Nakhon Si Thammarat, Thailand selatan, juga menemukan gumpalan muntah ikan paus berkualiti tinggi. Batu sisa buangan ikan paus itu dianggarkan mencecah 100 juta bath (RM13.4 juta).


Narit Suwansang menemui batu yang lebih dikenali sebagai ambergris itu ketika berjalan di sepanjang pantai Laem Talumphuk. Di situlah dia menemui batu besar dan serpihan kecil berwarna kekuningan sebelum pulang ke rumah memanggil keluarganya kerana tidak dapat mengangkat batu itu sendirian.


Selepas membuat beberapa eksperimen dengan kaedah pembakaran dia mengetahui batu berkenaan adalah ambergris yang bernilai tinggi selepas mengeluarkan bau aneh. Dengan berat 100 kilogram, ia dipercayai ambergris paling berat dalam sejarah sekali gus bakal menjadikan nelayan itu seorang jutawan.


Ambergris lazimnya didapati dalam usus ikan paus terbentuk akibat tindak balas ketika proses penghadaman mamalia itu dikatakan sangat berharga dalam pembuatan industri minyak wangi dan kosmetik dunia.


Nelayan itu berkata, seorang ahli perniagaan Phuket berminat membeli batu itu dengan menawarkannya nilai 960,000 bath (RM128,974) untuk sekilogram, jika benar terbukti batu itu daripada muntah ikan paus gred A.


EmoticonEmoticon