Rabu, 20 Januari 2021

JAIS sahkan Sajat sudah didakwa di mahkamah kerana berpakaian wanita


Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat sudah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, pada awal bulan ini.


Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pada 6 Januari lalu, Muhammad Sajjad dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam atas kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.


Katanya, usahawan kosmetik didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat, pada 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.


Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


"Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah. Selanjutnya, pihak mahkamah menangguhkan kes pada jam 9 pagi, 23 Februari hadapan untuk perbicaraan.


"Tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM 3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam kumpulan A," katanya ketika dihubungi wartawan hari ini.


Mohd Shahzihan berkata, pendakwaan terbabit dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Selangor, Atras Mohd Zain. Muhammad Sajjad didakwa atas pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita.


Sebelum ini tular di lama sosial, rakaman video yang memaparkan Nur Sajat menangis dalam keadaan bergari.


Nur Sajat ketika di Tanah Suci tampil berpakaian wanita dan bertelekung ketika mengerjakan ibadah umrah awal tahun 2020 lalu, tindakannya itu menimbulkan kemarahan ramai pihak serta tidak puas hati kerana perkara dilakukannya itu seakan mempersendakan agama.


EmoticonEmoticon