Kota Kinabalu: Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan individu yang meminum bir di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini yang tular dalam media sosial semalam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata, tindakan itu tidak menghormati pengorbanan petugas barisan hadapan kerana secara jelas melakukan kesalahan di kawasan digunakan sebagai kemudahan kesihatan merawat pesakit Covid-19.
Beliau berkata, tindakan meminum bir itu juga boleh mengundang ketidakselesaan pesakit lain yang sedang dirawat dan mungkin boleh mencetuskan masalah lain sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal.
"Cuepacs mahu tindakan juga diambil kepada pihak terbabit yang membawa, membekal atau melepaskan minuman keras itu kepada pesakit, tindakan individu itu biadab kerana seolah-olah sedang bergembira sedangkan petugas barisan hadapan sibuk mengerah keringat menyelamatkan rakyat.
"Tindakan yang sewajarnya perlu diambil agar tiada lagi pihak lain berani bertindak seolah-olah petugas barisan hadapan kita sedang berseronok atau berhadapan dengan satu perkara yang remeh," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Adnan berkata, sekiranya ada pembabitan pihak pengawal keselamatan atau petugas kesihatan sendiri dalam kejadian itu, tindakan tatatertib wajar dikenakan kerana ia mencemarkan integriti terutamanya membabitkan penjawat awam.
"Perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan pihak berkuasa tidak perlu melindungi mereka yang bersalah. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya mereka sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan apatah lagi ketika sedang mendapatkan rawatan daripada petugas kesihatan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi ketika dihubungi berkata, kes itu masih dalam siasatan dan menegaskan meminum arak tidak dibenarkan di semua PKRC. Video tular berdurasi lebih 10 saat itu memaparkan seorang lelaki di sebuah PKRC sedang berbual dengan individu lain sambil memegang tin bir dan turut kelihatan dua bekas besar berisi bir.
EmoticonEmoticon