Jakarta: Gunung Semeru di Jawa Timur, gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa, Indonesia meletus hari ini dengan mengeluarkan asap setinggi 4.5 kilometer (km). Gunung dengan ketinggian 3,676 meter itu meletus jam 5.24 petang waktu Indonesia Timur.
Menurut siaran media Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), gunung itu kini berstatus tahap II (dua) atau 'waspada' dan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG) sedang melakukan penilaian lebih lanjut berhubung letusan itu.
Penduduk di sekitar Desa Sumber Mujur, Desa Curah Koboan dan kawasan sekitarnya diarahkan sentiasa berjaga-jaga dan menjauhi kawasan gunung berkenaan. Berdasarkan data PVMBG, terdapat lebih 70 gunung berapi yang masih aktif di Indonesia manakala tujuh gunung berapi di Indonesia ketika ini sedang aktif meletus.
Gunung berapi yang sedang aktif meletus sejak dua tahun lepas ialah Gunung Kelud (Jawa Timur), Gunung Sinabung (Sumatera Utara), Gunung Bromo (Jawa Timur), Gunung Soputan dan Gunung Lokon (di Sulawesi Utara), Gunung Merapi (di Jawa Tengah), Gunung Anak Krakatau (di Selat Sunda).
Gunung Kelud ialah sebuah gunung berapi strato yang terletak di Jawa Timur di negara Indonesia. Gunung ini terletak di sempadan daerah Kediri, Blitar dan Malang, 27 km dari Kediri. Gunung Kelud merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia, sejak tahun 1000 M, Kelud telah meletus lebih dari 30 kali.
Gunung Sinabung ialah sebuah gunung stratovolkano yang terdapat di Kabupaten Karo, pulau Sumatera, Indonesia. Gunung ini tidak pernah meletus sejak tahun 1600, namun kembali aktif pada 2010 dan letusan berlaku pada Februari 2018 dan letusan terakhir dilapor pada Ogos 2020.
Gunung Bromo merupakan sebuah gunung berapi yang masih aktif dan paling terkenal sebagai kawasan pelancongan di Jawa Timur. Gunung Bromo menjadi tumpuan pelacong dalam dan luar negara kerana statusnya sebagai gunung berapi yang masih aktif.
Gunung Soputan merupakan sebuah gunung berapi strato yang terdapat di pulau Sulawesi, Indonesia. Gunung Soputan mempunyai ketinggian setinggi 1,784 meter, ia merupakan salah satu gunung api teraktif di Sulawesi.
Gunung Lokon merupakan sebuah gunung berapi kembar bersama-sama dengan Gunung Empung yang terletak di Sulawesi utara, Indonesia. Tingginya 1,750 meter daripada aras laut. Kedua-duanya menaik merentasi dataran Tondano dan di antara gunung berapi yang aktif di Sulawesi.
Gunung Merapi ialah sebuah gunung berapi terletak di Jawa Tengah, Indonesia. Ia merupakan gunung berapi yang paling aktif di negara pulau itu di mana ia telah meletus sebanyak 69 kali semenjak 1548.
Krakatau adalah gunung berapi yang terletak di pulau Rakata. Pulau ini terletak di Selat Sunda yang memisahkan pulau Jawa dan Sumatra.
EmoticonEmoticon