Rabu, 20 Januari 2021

Guna wang i-Sinar sewa lori bawa daun ketum seberat 1.5 tan


Pendang: Cubaan seorang lelaki membawa 1.5 tan daun ketum menggunakan lori tiga tan ke Seremban, Negeri Sembilan gagal apabila dia ditahan polis di Kampung Tong Prok, Mukim Padang Kerbau, di sini, semalam.


Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan jam 12.45 pagi itu oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Kubur Panjang yang melakukan rondaan cegah jenayah selepas mendapati lori itu dipandunya dalam keadaan mencurigakan.


Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, hasil pemeriksaan dalam lori itu menemui 80 karung plastik mengandungi daun ketum.


"Selepas menahan lori tiga tan itu anggota polis telah melakukan pemeriksaan dan menemui 80 beg kanvas serta guni plastik berisi daun ketum yang semuanya seberat 1.5 tan dan dianggar bernilai RM22,000.


Hasil siasatan suspek mengaku mengambil upah sebanyak RM2,000 bagi setiap perjalanan daripada individu lain untuk menghantar daun ketum itu dari Kuala Nerang ke Seremban, Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Beliau berkata, lelaki itu sebelum ini bekerja sebagai pemandu bas ekspres namun diberhentikan berikutan penularan Covid-19. Lelaki itu kemudian menyewa lori itu pada harga RM2,500 sebulan menggunakan wang pengeluaran i-Sinar.


"Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak itu sanggup melakukan kegiatan itu seorang diri dan membawa daun ketum berkenaan dari Padang Terap," katanya.


Arriz Sham berkata, modus operandi dilakukan suspek adalah menggunakan jalan kampung untuk mengelak ditahan disebabkan bimbang kegiatannya dikesan pihak berkuasa. Pemeriksaan lanjut mendapati suspek melakukan kegiatan itu buat pertama kali dan menyewa lori itu pada 9 Januari lalu sebaik memperoleh wang i-Sinar.


Katanya, suspek berasal dari Sungai Petani itu kemudian ditahan untuk membantu siasatan dan direman empat hari bermula semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


Arriz Sham berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan pemilik lori berkenaan dan kenderaan itu dipercayai disewa di Perlis.


Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah (tengah) menunjukkan sebahagian daun ketum seberat 1.5 tan yang dirampas sepasukan polis dari Balai Polis Kubor Panjang di Jalan Kampung Tong Prok, Mukim Padang Kerbau, Pendang tengah malam kelmarin.


EmoticonEmoticon