Seoul: Seorang diplomat kanan Korea Utara yang juga pemangku duta ke Kuwait bertindak berpaling tadah ke Korea Selatan bersama keluarganya. Akhbar Maeil Business, hari ini melaporkan, Ryu Hyun-woo tiba di Korea Selatan pada September 2019 dan meminta suaka, namun kedatangannya dirahsiakan sehingga kini.
"Saya mengambil keputusan berpaling tadah kerana mahu memberikan anak saya masa depan yang lebih baik," lapor Maeil Business memetik Hyun-woo.
Kira-kira 30,000 rakyat Korea Utara melarikan diri daripada penindasan dan kemiskinan di bawah rejim komunis dan kini menetap di Korea Selatan. Kebanyakannya adalah penduduk miskin yang melarikan diri secara diam-diam dengan menyeberang sempadan negara itu dengan China tetapi lebih ramai golongan elit turut berpaling tadah sejak kebelakangan ini.
Tindakan berpaling tadah oleh pegawai kanan jarang terjadi tetapi ketibaan Hyun-woo berlaku hanya dua bulan selepas bekas pemangku duta Korea Utara ke Itali, Jo Song-gil meminta suaka daripada Seoul.
Hyun-woo menjadi pemangku duta pada September 2017 selepas Kuwait mengusir wakil terdahulu, So Chang-sik, susulan langkah negara Teluk itu menerima resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai program senjata Pyongyang.
Menurut laporan, Hyun-woo ialah menantu kepada bekas ketua Office 39, Jon Il-chun, yang menguruskan dana rahsia kepemimpinan Korea Utara. Seorang lagi individu berprofil tinggi yang berpaling tadah, Tae Yong-ho, meninggalkan jawatan timbalan duta Korea Utara ke Britain pada 2016 dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Korea Selatan tahun lalu.
Beliau menyifatkan Hyun-woo sebagai sebahagian 'teras elit' Pyongyang yang lazimnya menikmati hidup agak selesa di negara yang dibelenggu kemiskinan itu.
"Namun, tidak kira bagaimana bertuahnya hidup anda di Korea Utara, fikiran anda akan berubah apabila anda ke luar negara dan membuat perbandingan," katanya.
Korea Utara memperketat keselamatan sempadannya sebagai sebahagian langkah pertahanan terhadap koronavirus dan jumlah kedatangan ke Korea Selatan merosot tahun lalu.
Yong-ho berkata, pemimpin Kim Jong-un 'tidak mungkin boleh menghentikan rakyat Korea Utara yang sudah lama mahukan kebebasan daripada pergi ke Korea Selatan untuk selama-lamanya.
EmoticonEmoticon