Khamis, 31 Disember 2020

Wanita pukul kucing hingga mati ditahan polis reman empat hari


Bukit Mertajam: Seorang wanita warga emas tergamak memukul dua ekor kucing dengan sebatang besi sehingga salah seekor daripada kucing yang sedang bunting mati. Susulan itu, suspek telah ditahan polis di Seberang Jaya, untuk membantu siasatan.


Perintah reman selama empat hari itu dikeluarkan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015. Tahanan sehingga Ahad ini untuk membolehkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) melakukan siasatan.


Terdahulu, dalam kejadian jam 1.20 tengah hari kelmarin (Selasa), wanita yang bekerja sebagai broker berusia 51 tahun itu dikatakan berang terhadap dua kucing berkenaan yang membuang najis di depan rumahnya.


Seorang saksi memberitahu, sewaktu kejadian, dia bersama seorang lagi rakan sedang memberi makan kepada beberapa ekor kucing terbiar di kawasan tersebut. Namun, secara tiba-tiba seorang wanita yang turut tinggal di kawasan itu dilihat mengambil sebatang besi dari dalam kenderaannya sebelum bertindak memukul dua ekor kucing yang sedang makan.


Menurutnya, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab wanita terbabit, kucing yang sedang sarat bunting itu mati ditempat kejadian manakala seekor lagi mengalami kecederaan teruk pada mulut.


Berikutan kejadian itu, dia bersama rakan telah membuat laporan polis termasuk melaporkan kejadian tersebut kepada Jabatan Veterinar.


Sementara itu, Pegawai Penyiasat JPV, Azhar Ahmad, berkata siasatan awal pihaknya mendapati dua kucing itu tidak bertuan dan berkeliaran di kawasan perumahan berkenaan.


"Semalam pegawai JPV pergi semula ke rumah suspek selepas soal siasat dijalankan dan membuat rampasan pakaian serta besi yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.


"Sebelum itu, kita sudah mengambil bangkai kucing yang mati dan dihantar ke makmal veterinar untuk proses bedah siasat. Seekor lagi kucing yang cedera dilaporkan masih menerima rawatan berikutan sukar untuk makan," katanya.


EmoticonEmoticon