Akibat gagal mengelak jalan berlubang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau juga mesra disapa dengan panggilan KJ mengalami kemalangan.
Berita itu kini diketahui umum setelah beliau memuat naik beberapa keping gambar di Twitter miliknya keadaannya yang bercalar di bahagian muka disebabkan terjatuh ketika menunggang basikal.
Beliau turut memuat naik gambar lubang dan parit terbabit di ruangan yang sama tetapi tidak dinyatakan di mana lokasi kejadian berlaku. Seperti yang diketahui ramai, KJ memang tidak asing lagi dengan aktiviti berbasikal dan gemar besukan.
Jika ada masa terluang beliau sering menunggang basikal dan menjadikan media sosial sebagai platformnya berkongsikan aktiviti yang dibuat.
Khairy turut berkongsi berita itu di IG Story dengan meletak kapsyen ringkas, menyatakan kecederaan dialami disebabkan terlanggar lubang ketika menunggang basikal hingga menyebabkannya terjatuh ke dalam parit.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Khairy, Raja Syahrir Bakar melalui Twitternya memaklumkan, KJ hanya mengalami kecederaan ringan yang tidak serius dan telah menerima rawatan di hospital berdekatan.
"Terima kasih kepada rakan-rakan yang bertanya. Alhamdulillah Khairy Jamaluddin hanya alami kecederaan kecil dan tiada yang serius," katanya.
Menjengah ke ruang komen, ramai pengikutnya mendoakan agar KJ cepat sembuh dan terdapat juga beberapa pengguna di Twitter menggesa KJ untuk membawa isu jalan berlubang yang berbahaya kepada pengguna itu kepada pihak berwajib.
EmoticonEmoticon